Monday, December 4, 2023

Selamat Jalan Abah


Ada banyak cerita yang aku nak kongsikan tapi aku tak tahu nak mulakan dari mana. Aku ringkaskan.

Tanggal 30 November 2023, pukul 2.36 pagi, abah aku Ahmad bin Abidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kalau nak cerita pasal kronologi dari awal dia mula tak sihat, ceritanya agak panjang. Lain kali lah aku cerita. Aku nak mencari ruang, masa dan idea dulu.

Sesungguhnya aku redha dengan pemergian abah. Sejujurnya aku dah bersedia, hanya menunggu masanya saja. Detik ini adalah detik yang paling aku takuti dalam hidup, tapi siapalah kita untuk melawan takdir. Sekurang-kurangnya abah dah melepasi satu fasa hidup didunia dan telah kembali kepada penciptaNya ke suatu tempat yang lebih baik.

Innalillahi wainnailaihi rojiun..

Bersemadilah dengan tenang abah. You will be missed and never be forget.



Tuesday, November 29, 2022

Kaki lima kedai



Menyusuri kaki lima deretan kedai-kedai di Pekan Endau membuatkan hati aku terasa sayu sekejap. Lama benar aku tak berjalan-jalan dikaki lima kedai ini. Banyak nostalgia tercipta disini. Tapak kedai ini dulu sebahagiannya adalah tanah pusaka arwah atok aku, cikgu Bidin. Dari rumah papan bertukar menjadi deretan rumah kedai 3 tingkat, dari hutan belukar bertukar menjadi tempat orang berniaga macam-macam benda.

Bercuti 3 hari di kampung tak terasa masa berlalu. Apakan daya, tuntutan hidup dibandar lebih diutamakan untuk meneruskan kehidupan. Aku benar-benar letih berkejaran setiap hari. Sungguh, memang letih. Aku rasa masa 24 jam itu tak mencukupi dalam sehari. 

Ketika aku menyusuri kaki lima kedai disitu, automatik fikiran aku kembali ke tahun-tahun silam. Masih terbayang betapa sibuknya mak dan abah aku berniaga kain baju, pelanggan datang dan pergi, ada juga satu ketika itu mak aku mengajar orang menjahit baju. Tapi malangnya aku ini tak ada kemahiran langsung untuk menjahit baju. Sadis kan.

Berbuih dah mak aku membebel suruh belajar, tapi aku kata aku tak minat. Sudahnya sekarang, menyesal! Baru aku tahu sebenarnya kemahiran itu penting dan boleh menghasilkan wang. Sekurang-kurangnya kalau aku ada kemahiran menjahit, boleh jahit baju sendiri, tak payah beli atau bersusah payah upah tukang jahit.

Sekarang, kedai mak aku di beri sewa kepada cina, dia buka courier service J&T. Tingkat 2 dan tingkat 3 masih ada banyak barang yang dah lama terbiar sepi. Aku naik ke atas, memang dah macam rumah berhantu, hahaha. Tapi entahlah aku sikit pun tak ada rasa takut. Mungkin sebab itu rumah aku, rumah mak abah aku, rumah tempat aku dan adik beradik aku pernah tinggal, jadi aku tak ada rasa takut pun walaupun kalau tengok keadaan rumah memang menyeramkan. Seram sebab dah lama kena tinggal, barang bersepah, kotor dan tak terurus langsung. Sebak pulak melihat keadaan rumah. Sayang sungguh. Tapi itulah, mak abah aku dah tua, mereka tak sesuai lagi tinggal dirumah yang tinggi-tinggi. Nak naik tangga ke tingkat 3 pun semput setengah mati. Kalau kau dah naik atas, tiba-tiba ada barang tertinggal dalam kereta, kau akan cakap…esok je lah ambil barang tu, hehe. Tak sanggup nak turun dan naik semula.

Jadi benarlah, ada rumah besar-besar dan bertingkat-tingkat pun bila dah tua kita tetap akan memilih untuk tinggal ditingkat paling bawah dan pastinya kita akan memilih untuk tidur dibilik yang paling hampir dengan bilik air dan dapur. Tunggu lah kau dah tua nanti, fasa hidup ini kau akan rasa. 

Ok tunggu sekejap. Mungkin ada anak-anak zaman sekarang tak faham apa maksud ‘kaki lima kedai’ kan?

Kaki lima kedai itu bermaksud laluan pejalan kaki dihadapan kedai di aras paling bawah selalunya. Kaki kita kan ada 5 jari, aku rasa sebab itu wujudnya istilah kaki lima. Laluan pejalan kaki yang dilalui oleh manusia yang ada 2 kaki dan setiap kaki ada 5 jari.

Begitulah pemahaman aku.