Friday, April 10, 2009

The power of eye


Mata adalah panca indera yang berharga anugerah dari yang maha Esa supaya manusia dapat melihat betapa indahnya dunia ciptaanNya. Pernahkah anda membayangkan bagaimana seseorang manusia buta hidup dalam kegelapan? Pejamkan mata anda, cuba berjalan perlahan-lahan dan anda akan merasai apa yang orang buta rasa. Mereka hidup dalam suasana gelap gelita, namun cahaya hati mereka tetap terang walaupun mereka tidak dapat melihat dunia ini bagaimana rupanya, warna apa pakaian mereka atau mungkin bagaimanakah bentuk wajah mereka sendiri (andaikata mereka dilahirkan buta sejak kecil). Bersyukur kepada Allah kerana kita mempunyai mata.

Mata juga tidak boleh menipu. Walaupun lidah itu lembut, boleh berkata apa saja, namun mata tetap jujur mempamerkan ketulusan yang lahir dari hati. Kalau marah, mata akan menunjukkan kita sedang marah, kalau sedih mata akan menunjukkan betapa sayunya hati, begitu juga kalau sedang gembira, mata akan menunjukkan keceriaan secara semulajadi. Itulah mata, keajaiban ciptaan Allah.

Cukup senang untuk mengetahui sama ada seseorang itu menipu atau jujur. Lihat saja matanya. Jika mereka bercakap sambil memandang wajah kita, itu bermakna dia jujur. Tetapi jika mereka bercakap tanpa memandang wajah kita (menoleh ke arah lain) itu bermakna dia sedang berbohong. Seperti yang saya katakan tadi, mata tidak pandai menipu kerana mata sangat jujur. Tidak seperti lidah yang boleh berkata apa saja dan boleh menimbulkan huru-hara dan fitnah. Tetapi tidak semua lidah itu jahat. Terpulang kepada tuan empunya lidah.

Saya pernah melihat mata seorang kawan yang sedang bersedih. Walaupun dia cuba tersenyum manis, namun dimatanya tetap ada lara dan sendu. Mata manusia juga banyak menyimpan pelbagai rahsia yang sukar untuk di rungkai. Ada mata yang suka menjeling, ada mata yang sering kelihatan sayu, ada mata yang selalu galak memandang sekeliling dan ada mata yang hanya memandang sepi tanpa bicara. Jika anda pandai membaca apa yang ada didalam hati seseorang, anda juga boleh 'membaca' apa yang sedang tersirat didalam mata tanpa perlu bertanya. Dan anda boleh tahu hanya melalui mata jika seseorang itu menyukai anda. Percayalah.

Saya pernah terdengar satu fakta (tapi saya lupa dari mana), bahawa jika seseorang memandang anda tanpa berkerdip lebih dari 4 saat, itu bermakna dia sudah jatuh hati pada kita. Betul atau tidak, itu saya tidak pasti tetapi mungkin ada kebenarannya. Pada pendapat saya seseorang itu tidak akan memandang kita untuk jangka waktu yang lama jika dia tidak ada perasaan suka pada kita. Setuju? Seperti diri kita juga, jika kita sukakan seseorang, kita semestinya berusaha untuk 'curi-curi' melihat dia walau dengan apa cara sekalipun. Mata ada kuasa tersendiri untuk memberitahu orang lain tanpa membuka mulut. Itulah mata.

Tidak kiralah mata kita rabun ke, mata sepet ke, mata bulat atau sebaliknya, ia tetap berharga. Cara untuk menjaga mata : selalu melihat pemandangan hijau kerana hijau itu sejuk. Saya suka melukis, dan saya suka melukis potret, dan mata adalah bahagian yang paling saya suka ketika melukis.

Untuk menilai sesuatu yang cantik juga adalah dengan pandangan mata sendiri, bukan pada pandangan mata orang lain. Contohnya untuk menilai kecantikan seseorang. Pedulikan jika orang lain kata dia hodoh, asalkan mata kita mengatakan dia cantik. Pedulikan jika orang lain kata baju itu tidak cantik, asalkan mata kita nampak baju itu sangat cantik dan sesuai untuk dipakai.

Beauty is in the eye of the beholder. Itulah kuasa mata.

No comments: