Sunday, May 17, 2009

Selamat Hari Guru

Hai cikgu-cikgu yg berada di seluruh Malaysia, Sabah & Sarawak. Selamat menyambut hari guru. Mungkin saya sudah terlewat untuk mengucapkannya kerana waktu ini sudah masuk 17hb. Tapi tak mengapa. Saya rasa memang patut di wujudkan satu hari dalam setahun untuk menghargai segala jasa-jasa guru kerana tanpa mereka, kita tidak akan menjadi seperti apa yang kita jadi sekarang.

Tidak kiralah apa pekerjaan kita pada waktu ini, semua ini adalah hasil didikan seseorang yang bergelar cikgu. Atuk saya seorang guru dan dia merupakan guru besar di sekolah rendah dikampung saya. Tetapi dia sudah meninggal dunia sebelum saya sempat bermanja dengannya. Itu cerita lama, kata abah, atuk saya garang orangnya. Maklumlah...guru besar. Arwah atuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, dan dia juga merupakan guru sukan. Tetapi saya langsung tidak mengikut jejak langkahnya. Saya jarang bersukan, dan saya tak tahu bahasa arab. Bahasa inggeris saya pun tunggang langgang. Kelakar kan.

Profesion seorang guru nampak mudah, tetapi ia sukar untuk dilaksanakan. Sebab itu saya rasa saya tak layak jadi cikgu kerana saya tak pandai mengajar. Tugas seorang guru bukan setakat masuk kelas dan mengajar, tetapi juga dia harus pandai mendidik. Mendidik itulah yang sukar. Semua orang boleh mengajar tetapi tidak semua orang boleh menjadi pendidik yang baik. Saya mengenal huruf ABC dan 123 bermula pada usia 6 tahun di sekolah tadika. Untuk makluman semua, tugas seorang guru tadikalah yang paling mencabar. Guru tadika tidak sama seperti guru sekolah menengah. Guru tadika adalah guru pertama yang mengajar dan mendidik kita tentang huruf dan nombor. Bayangkan pada usia kita 6 tahun, apalah yang kita tahu?Berak kencing pun masih di ajar, apatah lagi nak mengenal huruf. Kerana itu saya tabik pada guru tadika kerana merekalah manusia pertama yang mengajar kita apa itu huruf dan nombor. Merekalah guru pertama yang mengajar kita bagaimana cara makan, main, baca doa,tulis ABC, cara pegang pensil dengan betul dan silap haribulan mereka juga yang tolong bersihkan najis kita di sekolah. Ini perkara benar, saya tak bohong.

Namun ada juga sebahagian guru yang langsung tidak memberi motivasi pada pelajarnya. Saya tidak tahu sama ada dia ikhlas menjadi seorang guru atau tidak. Jika dia ikhlas, tentu tidak akan keluar perkataan seperti ini dari mulutnya: "Saya rasa kamu ini tak ada masa depan".

Well, patutkah ayat seperti ini keluar dari mulut seorang guru? Saya bukan reka cerita bohong tetapi perkara ini pernah berlaku dalam hidup saya. Guru itu pernah berkata begitu tetapi bukan secara direct di hadapan saya. Saya tidak faham mengapa dia boleh mengeluarkan ayat seperti itu. Walau sebodoh mana pun seorang pelajar, walau sejahat dan senakal mana pun seseorang anak murid, guru tidak harus mengeluarkan ayat yang boleh membuatkan pelajar semakin lemah semangat. Mereka yang bodoh harus di ajar, yang jahat dan nakal harus di didik. Jika mereka tidak dengar kata, barulah di lakukan tindakan yang sewajarnya. Tetapi jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Ya...mungkin saya tidak sepandai mana, tetapi itu tidak bermakna saya bodoh dan tidak ada masa depan. Yang menentukan masa depan saya bukan dia, tetapi itu semua kerja Allah. Mereka seorang pendidik, bukan peramal atau ahli nujum yang boleh meramalkan masa depan seseorang itu gelap atau cerah. Saya terima segala kritikan, dan sekarang saya berdiri sebagai diri saya...saya kejar cita-cita saya. Alhamdulillah..., terima kasih guru, mungkin kata-kata itu sebagai cabaran buat saya untuk berjaya.

Saya tidak pasti adakah saya seorang pelajar yang nakal, jahat atau degil ketika sekolah dahulu. Mungkin saya agak degil, tetapi mengapa kata-kata itu di tujukan untuk saya? Saya rasa ramai lagi pelajar lain yang lebih teruk. Entah, saya tak faham. Namun itu semua kenangan lama, saya bukan ingin mengungkit, cuma tiba-tiba terkenang semula cerita waktu sekolah. Syahdu nya.

Saya berterima kasih kepada semua guru-guru yang pernah mengajar saya suatu ketika dahulu, termasuk cikgu Ani, guru tadika saya. Saya doakan mereka bahagia dan terus menjadi seorang pendidik yang baik. Terima kasih untuk segalanya, segala jasa baik mu tetap ku kenang hingga ke akhir hayat.

Selamat Hari Guru!

2 comments:

Reds said...

Teringat lak kat cikgu2 kita dulu...cikgu kunyu, cikgu sarip. cikgu nagai, cikgu maznah, cikgu othman, cikgu sarah, cikgu zainuddin, cikgu rais, cikgu rosnah, cikgu wee, cikgu rahmah, cikgu samad, cikgu fawziah, cikgu zakaria, cikgu hamdin & lain...(klu ada trtinggl sila tmbh k...)

J.U.L.I.E said...

cikgu haslina, cikgu maziah (ajar mate form 3), cikgu kamal (ajar sejarah)...cikgu apa ntah lg..., tapi cikgu sarip & cikgu fawziah paling terkesan dihati...