Monday, February 21, 2022

Cukai tanah


Faham ke apa aku conteng ni? Tak faham tak apa sebab kadang-kadang aku pun tak faham dengan tulisan aku sendiri, hehe


Minggu lepas LHDN Mersing telefon aku. Dia bagitahu berapa jumlah cukai yang aku kena bayar keatas tanah yang abah bagi tu. 

Nilai tanah 4.3 ekar semasa abah aku beli dulu kalau tak silap rm22k. Murah ya ampun. Current value tanah itu ialah rm132k. Aku tak tahu macam mana mereka buat assessment pada tanah itu untuk tahu nilai semasa harga tanah, itu kena tanya orang LHDN.

Jumlah sebenar cukai yang sepatutnya aku bayar ialah rm1640. Tapi oleh kerana tanah ini adalah hadiah dari seorang bapa kepada anaknya, aku dapat diskaun 50%. Kalau misalkata abah aku jual kepada orang luar, dia kena bayar full rm1640. Tetapi oleh kerana aku anak dia, aku bayar separuh saja.

Aku perlu bayar rm820.

Ok lah tu bayar rm820, tanah itu pun aku dapat secara percuma!

Kalau nak cari tanah lain, puluh-puluh ribu untuk tanah terceruk, ratus ribu atau setengah juta untuk tanah kebun cantik dah siap ada pokok durian dan pokok buah-buahan. Aku ada terbaca iklan agent promote tanah untuk dijual di Hulu Selangor, 3.3 ekar tanah dah ada pokok durian, harga rm580k. Tak payahlah cari tanah di Selangor kecuali kau memang banyak duit.

Bersyukurlah ada rezeki dapat tanah percuma ini walaupun sebenarnya tidaklah 100% percuma. Banyak juga kos yang aku keluarkan tapi ianya sangat berbaloi. Dalam masa yang sama aku dah tahu bagaimana rumit urusan hartanah, kena isi borang apa, kena naik turun pejabat tanah dan sediakan dokumen lengkap. Tak ramai orang suka buat urusan yang renyah-renyah macam ni. 

Sebenarnya kalau kita menyampah nak uruskan hal-hal tanah ini, kita boleh guna lawyer di Pesuruhjaya Sumpah. Tapi sudah tentu ada bayarannya. Kau tak payah pening-pening nak fikir, kau serahkan pada mereka dan mereka akan setelkan. Kau tunggu dia call minta kau datang ke pejabat tanah untuk sign atau turunkan cap jari. Selesai.

Tapi aku memilih untuk uruskan sendiri. Aku rasa macam tak berbaloi aku nak bayar pada pesuruhjaya sumpah. Lebih baik duit itu aku gunakan untuk perkara lain. Selagi boleh jimat, kita jimat. Satu lagi, kalau kita uruskan sendiri, kita dapat belajar benda baru dan orang tak boleh kelentong aku.

Sekarang aku tunggu surat LHDN sampai kerana aku minta dia poskan ke Putrajaya. Sebenarnya aku dah pesan dah suruh pos haritu, dia lupa. Selepas membuat bayaran nanti, baru aku boleh pergi semula ke pejabat tanah untuk mereka keluarkan geran baru yang tertulis nama aku.


Excited!






No comments: