Aku lihat semakin ramai orang menunjukkan minat untuk bercucuk tanam. Ada yang dah mula berjinak-jinak dengan kebun. Ada juga yang bercucuk tanam sikit-sikit ditepi rumah. Paling-paling tak pun ada yang tanam pokok keladi hiasan sebagai penenang jiwa.
Segalanya bermula semasa lockdown 2 tahun yang lalu. Apabila banyak perniagaan bungkus ikat tepi, pekerja makan gaji dipotong gaji atau ditamatkan perkhidmatan, ianya telah membuka mata ramai usahawan atau orang perseorangan untuk beralih arah ke bidang pertanian. Seperti yang aku pernah cakap, pertanian adalah kehidupan. Tak rugi kalau kita berbudi pada tanah, balasannya pasti ada cuma kau kena sabar sikit.
Tapi aku perasan, golongan yang mulai sedar dan berminat dengan pertanian adalah golongan peringkat usia akhir 30an dan awal 40an….macam aku, hehe.
Sebab pada usia ini kita dah penat bekerja dalam pejabat, kita dah penat nak kejar dateline, kita dah penat dan bosan nak hadap perangai manusia. Pada usia ini, kita lebih mahukan ketenangan. Kita dah tak heran dengan rating appraisal tinggi atau rendah, kita dah tak kisah apa penilaian manusia pada kita, kita dah tak kisah pakai baju tak gosok, tudung sarung dan berkasut getah saja.
Berbeza semasa separuh usia aku yang lalu, dimana penampilan menjadi keutamaan. Baju wajib digosok kemas, tak suka pakai baju renyuk-renyuk, pakai tudung kena pastikan muncung tudung tu tajam yer, tak nak muncung tudung tu terkelepet, kalau tak memang murung sehari bergaduh dengan tudung. Tu belum lagi fikir baju yang dah pakai minggu ni kena make sure tak diulang pakai minggu depan. Nanti takut orang lain terperasan aku asyik pakai baju yang sama. Aku rasa orang lain tak berkesah pun aku pakai baju apa, tapi ye lah…dulu-dulu punya pemikiran suka sangat overthinking. Aku cakap pasal diri aku, bukan orang lain.
Ini tanah aku dikampung yang abah bagi tu. Gambar ni semasa hujung tahun lepas bulan December masa aku balik cuti krismas. Kena guna excavator untuk tolak semua pokok-pokok hutan dan ratakan tanah. Yang berbaju putih itu Hafiz, kenalan husband aku dikampung. Dia antara orang kepercayaan husband aku yang banyak membantu kami tanpa meminta apa-apa bayaran. Orang kata, yang tak meminta-minta itu yang patut kita bagi.
Tahu tak ni apa? Inilah tapak kaki gajah. Orang kuat hutan ni memang selalu ada. Tapi lokasi tapak kaki ni bukan dalam tanah aku tapi dikawasan lain dekat-dekat situ juga. Najis dia pun ada.
Ini keadaan tanah kira-kira sebulan kemudian masa aku balik sempena chinese new year. Berulang alik ke kampung semata-mata kerana sebidang tanah yang abah bagi secara percuma kepada anaknya ini. Rasa tenang saja duduk kat tanah yang dikelilingi pokok sawit ni. Yang paling aku suka, walaupun dalam hutan sawit, internet 4G full bar yer. Internet yang laju sangat penting bagi seorang manusia bernama Julie Ellyzer.
Abah duk berzikir kat tepi telinga aku, sampaikan masa dalam pejabat tanah pun tak habis lagi zikiran dia.
“Kau jangan jual tanah ni”
“Kau jangan jual tanah ni”
“Kau jangan jual tanah ni”
Di depan pegawai pejabat tanah semasa kami nak turunkan cap jari pun abah masih lagi berpesan.
“Jangan dia jual tanah ni sudah. Harap-harap dia tak jual lah”
Tersengih saja pegawai tu dengar. Pesanan bersungguh-sungguh dari abah yang entah berapa ratus kali dah. Pesanan yang sama macam arwah atok cakap ke dia dulu. Dan mungkin.. mungkin lah, pesanan ini juga yang akan aku sampaikan kepada anak-anak aku kelak. Pesanan turun temurun!
Besar harapan aku agar apa yang aku rancangkan diatas tanah ini menjadi kenyataan. Aku nak tanam pokok, nak jadi pekebun kecil. Setiap perkara yang kita lakukan janganlah mengharapkan hasilnya akan dapat dalam masa satu malam. Semuanya perlukan masa. Cahaya matahari nak sampai ke bumi pun mengambil masa 8 minit. Bermakna, cahaya matahari yang kita rasa hangat itu adalah cahaya 8 minit yang lalu. Cahaya pun perlukan masa untuk sampai ke destinasinya.
Aku suka berpegang pada satu perkataan Jepun iaitu KAIZEN.
Kaizen bermaksud ‘Penambahbaikan yang berterusan’ untuk jangkamasa yang panjang. Slowly but surely. Tak perlu rushing pun. Tapi kena rancang, gali ilmu, banyakkan membaca dan rajin bertanya. Ambil sedikit masa untuk belajar ilmu baru. Kaizen ini dalam bahasa mudah ialah kau sentiasa improvekan diri kau atau apa saja kerja yang kau sedang lakukan, improvement yang bukan secara mendadak tetapi secara perlahan-lahan tapi berterusan dan berkekalan.
Pertanian ini aku nampak jalannya panjang dan kalau betul caranya boleh kekal untuk tempoh masa yang lama. Pertanian ini berkaitan dengan bekalan makanan yang semua manusia perlukannya. Manusia mana tak mahu makan. Sekurang-kurangnya, kalau tak dapat jual, dapat makan sendiri pun dah kira bagus.
Jom lah kita jadi petani moden!
No comments:
Post a Comment