Friday, April 29, 2022

Kenapa muka kami tak sama

Dulu, tiap kali raya arwah adik aku akan berkemas rumah. Dia bab-bab mengemas memang terbaik sampaikan orang dalam rumah tak jumpa cari barang sebab dia simpan ikut suka hati. Siapa suruh dia mengemas kan…hahaha.

Aku pulak ambil kontrak memasak didapur walaupun sebenarnya bukan aku yang masak, cuma tolong sediakan segala mak nenek bahan. Nanti mak yang akan masak. Aku jadi tukang hulur bawang, lada, daging, sayur…semua lah.

Sebut pasal arwah adik aku, dulu kawan-kawan sekolah ramai bertanya…

“Julie, kenapa muka kau dengan adik kau tak sama?

Soalan yang aku cuba elak nak jawab tapi sampai bila aku nak elak? Manusia bukannya buta tak nampak perbezaan ketara antara aku dengan dia. 

“Aku ikut muka mak, dia ikut muka abah” aku jawab.

Sebenarnya aku berbohong. Aku malas nak bercerita sebab masa tu mak aku dah pesan tak payah cerita kalau orang tanya. Tapi tahun demi tahun bila orang asyik bertanya saja, aku pun jawablah.

Arwah adik perempuan aku bukan darah daging aku. Mak dan abah aku ambil dia ketika usianya baru 7 hari. Masa tu umur aku 7 tahun. Aku tak ada adik beradik masa tu, sorang-sorang diri. Aku tak ikut masa mak dan abah ambil dia. Tahu-tahu mak bawak balik seorang baby dirumah. Mak kata, ni adik kau. 

Bermula dari hari itulah aku tak bergelar anak tunggal lagi. Wow…aku dah ada adik. Gembiranya Tuhan saja yang tahu. Setahun selepas mak pelihara dia, mak aku pregnant.

Entah, macam ada magic pulak lepas ambil anak angkat mak aku ada rezeki dapat anak lagi. Maka, aku ada 2 orang adik lelaki seibu sebapa. Macam tak sangka, dulu aku sorang-sorang, sekarang aku dah jadi kakak kepada 3 adik. 

Dari mana arwah adik aku berasal dan siapa ibubapa kandung dia amatlah sulit untuk aku ceritakan. Kisah dia kalau aku cerita akan mengundang banyak isu dan seakan-akan membuka aib orang lain. Cukuplah sekadar aku berkata…

Ibubapa kandung dia tak mahukan dia.

Bila aku fikirkan balik, aku sangat bersimpati dengan nasib arwah adik aku. Dia tahu dia anak angkat, sebab itu dia selalu memberontak. Mak dan abah aku tak pernah membeza-bezakan kasih sayang pun, tapi jiwa seorang budak bila dia tahu dia bukan darah daging, hati dia pasti terluka dan mulalah dia akan berfikir yang bukan-bukan.

Riwayat hidupnya tamat tepat 01.01.2018. Innalillahi wainnailaihi rojiun. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah.

Selamat hari raya untuk arwah adikku. Kalau kau ada mesti rumah dah siap berkemas, lantai dah bersapu dan mop. 

Aku cerita disini supaya suatu hari nanti aku boleh baca semula. Aku tak nak nama dia luput dari ingatan walaupun semasa hayat dia masih ada kami selalu bertekak dan tak sehaluan. Suara dia masih aku simpan dalam aplikasi whatsapp. 

Begitulah kisah dan jawapan kepada persoalan kenapa muka aku dan arwah adik aku tak sama.



Gambar kenangan arwah adik perempuan aku bersama anggota PASKAL di Lumut, Perak. Sebelah kanan dan belakang aku, mereka adik lelaki aku, adik beradik kandung. 






No comments: