Sunday, May 8, 2022

Cerita raya dan pokok sawit

Ada cerita yang lebih menerujakan aku berbanding cerita hari raya. Cerita raya sama saja kecuali 2 tahun raya PKP. Hari raya adalah hari kemenangan untuk umat Islam raikan setelah sebulan berpuasa. Tahun ini Allah bagi kita semua raya sehari awal sampaikan semua kelam kabut membuat persediaan. Seingat aku masa zaman kanak-kanak girang dulu pernah juga terjadi macam ni dimana kita berpuasa 29 hari sahaja.

Ok selamat hari raya semua! Seronok dapat beraya dengan mak abah, sambutan yang sederhana tapi meriah.

Sebenarnya aku bukan nak cerita pasal raya sangat. Aku nak cerita pasal projek tanah 4.3 ekar aku tu, hehe.

Aku dan husband membuat keputusan untuk usahakan tanah yang dah terbiar lama tu. Abah pun dah cakap, kau nak buat apa buatlah kecuali jangan jual. Ok fine. Aku faham tu dan aku pun tak terfikir nak jual.

Tanah itu memang tanah untuk pertanian. Disekeliling tanah itu semuanya kebun sawit, maka aku pun fikir nak tanam sawit jugalah. Proses bermula dari tiada apa-apa, dari tanah yang penuh semak samun dah macam hutan sampailah dah lapang, cuma tinggal sikit batang-batang pokok sebesar pemeluk yang kena potong-potong kemudian nak ketepikan. 

Dari awal tahun haritu husband aku dah survey anak pokok sawit. Merata juga kami cari, dari Endau sampai ke Kota Tinggi. Mengira-ngira bajet yang bakal dileburkan haruslah berhati-hati. Bertanya pada yang tahu, minta nasihat dan pendapat. Kemudian bak kata pesanan arwah atok aku, minta nasihat boleh, tapi yang buat keputusan adalah kita sendiri.

Felda ada benih sawit baru, tapi agak mahal. Katanya benih sawit yang baru ini pokoknya tak terlalu tinggi tapi buah banyak. Harga RM18 sepokok. Aku nak beli 250 pokok, kau darablah sendiri.

Tapi yang felda ni kena tunggu 6 bulan sebab pokok kecik lagi. Dah lah mahal, kena tunggu lama. Ok tak apa, kita cari tempat lain. Aku ni kalau boleh tak nak cari yang jauh-jauh sangat sebab memikirkan kos transport.

Cari punya cari, aku jumpa nursery pokok sawit di Kg Tanjung Gemok, Rompin. Endau dengan Rompin tak jauh mana pun. Bersih dan kemas nursery dia. Nama ownernya Md Saad. 



Masa aku datang kebetulan owner ada. Bertanya-tanya harga dan apa-apa yang patut ditanya lah. Aku suka nursery dia bersih dan kemas, pokok pun cantik. Harga, memuaskan dan boleh dikatakan murah. Lokasi pun tak jauh dari Endau. Aku dah teruja. Benih sawit ni jenis Gambi.

Tapi Pakcik Saad tu kata kena tunggu 3-4 bulan lagi baru anak pokok boleh keluar. Masa aku pergi bulan Februari yang lepas usia anak pokok ni dalam 9-10 bulan macam tu. Kena tunggu usia pokok 1 tahun lebih baru boleh jual dan tanam.

Sebenarnya ramai yang ada dalam waiting list Pakcik Saad ni, 18 orang termasuk aku. Risau juga aku kalau-kalau orang lain beli dulu. Aku nak bayar deposit untuk booking tapi Pakcik Saad tak bagi. Dia kata lepas raya call dia semula.

Penantian satu penyiksaan.



Sebahagian dari anak pokok sawit yang ditanam disini. Satu blok tu ada dalam 150 pokok macam tu. Kemas bersih jer nursery dia.



Nak buka nursery sawit ini rupanya kena ada lesen/permit dari MPOB. Kalau nak beli anak pokok sawit pastikan beli dari nursery yang berlesen. Orang MPOB akan datang check anak pokok sebelum dijual. 




Teruja tapi kena sabar…

Teruja tapi kena sabar…

Sebelum balik raya, aku call Pakcik Saad tanya pasal anak pokok sawit. Sebenarnya ada beberapa kali aku call sebelum ini tapi jawapan dia tetap sama, kena tunggu. Dia kata nanti call dia semula 10 hari lepas raya. Pokok dah boleh keluar tapi aku risau sebab dia tak bagi aku bayar deposit. Aku saspek mesti kena berebut dengan orang lain ni. 

Raya ke-5 aku ziarah makcik aku di Felda Keratong 5, Pahang. Balik dari Keratong, aku dan husband saja-saja nak singgah nursery Pakcik Saad ni. Saja singgah nak tengok pokok. Kebetulan dia ada. Rupanya anak pokok dah boleh keluar dan ada sebahagian blok orang dah beli. Aku bengang jugalah dengan Pakcik Saad ni, dia kata call semula 10 hari lepas raya. Aku datang raya ke-5 rupanya sebahagian pokok dah ada orang beli.

Husband aku terus cakap, kalau macam tu saya nak beli teruslah. Nak bayar deposit dia tetap tak bagi. Ok, kalau macam tu saya bayar habis. Tapi masa tu kami berdua tak ada cash dalam tangan. Kena pegi cari ATM dulu. Pakcik Saad setuju. 

Ok fahamlah aku style Pakcik Saad ni. Dia nak orang bayar habis dan terus ambil anak pokok. Dia tak nak orang dah beli tapi nak letak situ lama-lama. Satu hal pulak pekerja dia nak kena jaga. Upah pekerja dia yang tanggung.

Husband aku pujuk-pujuk slow talk dengan Pakcik Saad. Lepas bayar bagi kami masa 1 minggu untuk keluarkan anak pokok dari situ. Oh ya, transport dan delivery pekerja dia akan hantar sampai ke tanah aku. Maknanya, lepas bayar dan confirm, minggu depan pekerja dia hantar. Jangan lebih dari 1 minggu. Dia tak nak jagakan pokok orang lama-lama.

Kau faham tak cerita aku ni? Hahaha

Senang cerita macam ni. Bila anak pokok dah umur setahun lebih, kalau kau betul-betul serius nak beli, kau terus beli dan bayar cash. Lepas tu kalau boleh terus keluarkan anak pokok jangan pulak kau nak simpan situ lama-lama. Kau ingat pekerja yang jaga disitu nak jaga pokok kau lama-lama tanpa dibayar? Hehe..

Nasib baik Pakcik Saad ni boleh kawtim. Aku minta masa 1 minggu sebab aku nak clearkan tanah tu betul-betul, nak buat lubang dan beli dawai duri siap-siap. Kerja-kerja ini bukan aku yang buat tapi Hafiz, orang kepercayaan kami setakat ini. 



Pakcik Saad (baju biru), pak mertua aku baju kelabu tu.


Masa nak cari ATM, dugaan hari raya duit dalam machine ATM habis. Nak cari bank lain dah tak sanggup sebab jalan jem. Sekali lagi aku kawtim dengan Pakcik Saad untuk datang bayar esok pagi. Nasib baik dia faham. Maka, esoknya pagi-pagi aku dengan husband dan pak mertua sekali pergi jumpa Pakcik Saad untuk bayar cash. 

Tak susah pun nak berurusan dengan Pakcik Saad ni. Urusan dilakukan dibawah pokok saja. Dia datang bawa buku bil. Alhamdulillah selesai urusan beli anak pokok sawit disaksikan oleh pak mertua aku.

Nak tahu harga anak pokok sawit jenis Gambi yang aku beli ni?

1 pokok - RM14
Upah hantar - RM1 sepokok

Jadinya senang cakap RM15 sepokok lah. Upah hantar tu bergantung pada lokasi kita juga. 

Umur anak pokok yang aku beli ini 1 tahun 3 bulan (15 bulan) memang sedang elok untuk ditanam. Kau nak beli anak pokok yang lagi besar pun boleh tapi harga lagi mahal lah. Pokok besar ni nak jaga dah tak susah tapi modal kena besar.

RM15 x 250 pokok…kau darab lah sendiri.

Aku cerita pasal sawit lagi teruja dari cerita pasal raya kan, hihi. Sayangnya aku tak dapat tengok masa nak tanam, maklum lah dah balik Putrajaya. Hafiz yang uruskan. Kalau dapat tengok dan turun padang sekali lagi best. 

Tolong doakan segala urusan kami dipermudahkan dan moga-moga tak ada babi yang menyondol anak pokok sawit aku tu. Banyak lagi aku kena belajar pasal sawit, doakan usaha aku ini berjaya.




Ini anak pokok sawit yang umurnya masih bayi. Di setiap blok ada signboard sawit jenis apa, tarikh mula tanam dan berapa jumlah anak pokok. Pastikan beli dari nursery yang berlesen.





No comments: