Friday, June 17, 2022

Akan ada peluang kedua


Hari ini keputusan SPM untuk pelajar batch 2021 keluar. Aku tumpang gembira dengan mereka yang berjaya dengan cemerlang, dan aku faham perasaan mereka yang keputusannya biasa-biasa saja. 

Kepada yang keputusannya biasa-biasa saja, jangan terus lemah semangat. Hidup ini masih panjang (jika kamu panjang umur) kamu akan merasai susur galur kehidupan yang lebih menarik untuk diterokai.

Tiba-tiba aku tergatal jari nak google info pasal Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Beliau adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya dan merupakan salah seorang manusia terkaya di Malaysia. Syarikat beliau mempunyai lebih kurang 67,700 tenaga kerja dan aku adalah salah seorang daripada ribuan tenanga kerja yang bekerja di salah satu anak syarikat beliau.

67,700 pekerja ini datang dari pelbagai latar belakang pendidikan. Ada yang kelulusan dari luar negara, ada Ijazah, Master, 1st class degree, 2nd class degree, Profesional Engineer yang ada gelaran Ir, Ts dan pelbagai lagi. Nak masuk bekerja kena melalui sesi interview dulu macam biasa. 

Anehnya Tan Sri Syed Mokhtar ini pendidikannya SPM saja. Ada juga info yang aku tak pasti sahih ke tidak, beliau tak sempat ambil SPM pun kerana tidak ada duit nak bayar yuran, wallahualam.

Orang yang pendidikannya hanya SPM sekarang mempunyai 67,700 orang tenaga kerja dan beliau yang hanya ada SPM ini adalah big boss kepada 67,700 pekerja profesional ini.

Sebab itu aku kata, yang mana keputusan SPM biasa-biasa jangan cepat lemah semangat. Perjalanan hidup ini masih jauh. Pendidikan itu penting aku tak nafikan, tersangat penting. Namun, keputusan yang biasa-biasa itu bukanlah penamat segala impian yang kau dah rencanakan.

Wahai adik-adik yang keputusannya biasa-biasa saja…
Aku dulu pun keputusan biasa-biasa juga. Aku salahkan diri sendiri kerana kurang berusaha dan ini takdir yang harus aku terima. Namun, itu bukan bermakna aku tak mampu pergi jauh. Aku menapak dari bawah ambil Diploma dulu, lepas tu bekerja sekejap nak rasa pegang duit sendiri. Semasa bekerja sekejap inilah aku dapat rasa diskriminasi dalam pejabat. 

Diskriminasi yang aku rasa ketara sangat waktu itu ialah..

1. Ada bos yang memandang aku sebelah mata saja sebab masa tu aku hanya ada diploma, pekerja bawahan yang gaji hanya cukup makan. Dia jarang memandang atau nak bercakap dengan orang macam aku ni.

2. Ada seorang engineer perempuan pernah berkata…eh kenapa kawan dengan kakak tu, kakak tu kan secretary jer. So what? Berdosa ke berkawan dengan secretary? Ya Allah sedihnya pemikiran seorang engineer yang berpelajaran tinggi kononnya. Dengan kakak tea lady pun aku berkawan ok.

Selepas aku berhenti kerja dan sambung belajar, aku masuk semula ke pejabat di syarikat yang sama tetapi kali ini aku masuk sebagai jurutera. Bos perempuan yang annoying dulu dah senyum pada aku, kadang-kadang ada juga dia menegur aku. Geli hati pulak aku rasa. Dulu pandang aku macam sampah, sekarang sudi pula menegur dan menghadiahkan senyuman.

Memang ada manusia sebegitu, tak semua tapi ada. Sama macam aku memandu kereta di jalanraya. Kalau aku bawa kereta A yang agak buruk sikit, aku bagi signal nak masuk orang tak nak bagi. Tapi bila aku bawa kereta M yang agak mewah sikit la kononnya, aku bagi signal sekejap saja orang terus bagi masuk. Begitulah diskriminasi dijalanraya. 

Untuk orang yang keputusan SPM biasa-biasa macam aku ini, aku mampu berjaya cuma aku kena lalui jalan yang belok-belok sikit berbanding orang yang cemerlang SPM terus jalan menegak masuk Universiti. Aku dapat masuk universiti juga tapi lambat sikitlah. Slowly but…surely kan.

Bak kata seorang kawan aku yang mulutnya tak ada insuran..

“Kau belajar kat Jepun ke, US ke…last-last duduk semeja dengan aku minum teh sesama jugak kan…hehehe tak kemana pun” 

Muahaha…

Motif aku tulis ni sebab nak bagitahu kepada mereka yang kurang berjaya dalam SPM, teruskan melangkah dik, pilihlah kemana kamu nak pergi dan usahakan sehingga impian kamu menjadi realiti. Jalan itu mungkin bengkang bengkok sikit tapi disepanjang jalan bengkang bengkok itu kamu akan merasai pengalaman yang menyeronokkan yang student straight A tak dapat rasa. Dikala student straight A sedang sibuk menelaah buku untuk jawab exam, kamu pula sedang belajar deal dengan manusia yang pelbagai ragam di tempat kerja. Kau dah rasa bagaimana orang menghargai dan merasa juga cabaran bila dipandang sepi. Ada rezeki, kau sambung belajar dengan lebih konfiden dan masa tu kau dah pandai bawa diri, pandai berjimat sebab kau dah rasa bagaimana susah cari duit sendiri nak beli komputer, nak beli buku dan makanan.

“Life always offers you a second chance. Use it wisely”

Kita perlukan orang-orang berjaya ini untuk membangunkan negara, dalam masa yang sama kita juga perlukan nelayan, petani dan pengutip sampah untuk teruskan hidup. Inilah namanya ekosistem atau rantaian kehidupan. Yang berjaya duduk dikerusi sebagai bos tu nak makan ikan kena naik bot tangkap ikan sendiri…kau mampu? Nak makan steak kena bela lembu, sembelih sendiri…kau mampu? Ambil sampah pergi buang sendiri ditempat pelupusan sampah…kau mampu?

Aku jamin kita semua tak mampu nak buat semua benda dalam satu masa. 

Kita saling memerlukan. Jangan sombong mendongak langit sehingga lupa kaki kau memijak bumi.








No comments: