Wednesday, June 22, 2022

Cerita taekwondo

 


Aku tak pernah dan tak suka nak memaksa anak aku buat sesuatu yang mereka tak suka. Selalunya aku akan ikut minat dia. Dia suka melukis, aku biarkan dia melukis. Dia minat badminton, aku bagi dia main badminton. 

Ada satu benda yang dia paling tak suka bila aku minta dia sertai taekwondo. Masa dia baru masuk darjah 1, aku pernah hantar dia ke kelas taekwondo didewan dalam kawasan rumah kami. Tak sampai setengah jam dia lari balik rumah. Aku tak sangka dia boleh ingat jalan balik rumah, malam pulak tu. Dia baru 7 tahun masa tu. Lepas hantar dia ke dewan, aku dengan husband patah balik ke rumah sebab kami lupa bawak air. Silap kami juga sebab sepatutnya biarlah salah sorang saja yang balik ambil air, kenapa entah kami berdua balik bersama, hahaha.

Dah ambil air, keluar ke lif nak turun untuk pergi semula ke dewan, bila pintu lif terbuka, terjengul muka si Zhareef. Terkejut aku masa tu.

Kenapa balik?
Macam mana balik sendiri? Malam-malam ni ingat pulak jalan balik rumah?

Honestly kami tak pernah tinggalkan dia berseorangan kecuali pada malam itu, puncanya nak ambil air.

Untuk soalan pertama, dia jawab:
“Saya tengok mama dengan papa tak ada, saya balik lah”

Untuk soalan kedua:
“Saya ingat jalan balik rumah”

Lepas daripada peristiwa itu, dia dah tak nak join taekwondo, alasan dia, dia takut. Confident level dia rendah walau aku dah pujuk banyak kali. Zhareef ni berhati tisu dan mudah mengalirkan air mata. Punca dia tak mahu masuk taekwondo hanya satu…aku dengan husband balik rumah ambil air, bila dia tak nampak muka kami, dia jadi takut. Itu saja.

Geleng kepala aku dibuatnya.

Tak berapa lama selepas itu ada satu kejadian ala-ala buli berlaku di sekolah. Zhareef mengadu dia kena tolak dengan kawan sampai berdarah bibir. Aku tak anggap perkara ini ‘buli’ sebab aku faham budak darjah satu ini baru nak mengenal alam persekolahan dan baru belajar nak mengenal dunia. Aku anggap ini hal budak-budak saja.

Namun, aku mengambil langkah selamat untuk minta guru kelas dia siasat kenapa dan bagaimana Zhareef ditolak sehingga berdarah bibir. Cikgu kelas dia masa tu bernama Cikgu Salawati. Bagus cikgu ini, cepat tindakannya.

Esoknya, Cikgu Salawati bagitahu aku kes dah selesai, dua-dua dah saling minta maaf. Punca tolak menolak itu berlaku semasa semua murid beratur nak keluar rehat. Biasalah budak darjah satu susah sikit nak kawal bila dah ramai sangat, maka terjadilah tolak menolak dan mungkin budak yang terlibat itu tertolak Zhareef kuat sampai jatuh. 

Tapi ada satu ayat Cikgu Salawati yang aku ingat sampai sekarang.

“Puan, kes macam ni mungkin kita anggap remeh, hal budak-budak tapi kami pihak sekolah amat menitik beratkan disiplin. Kalau perkara macam ni tidak dikawal dari sekarang, ianya akan berlarutan sampai mereka besar”

Aku suka ayat dia. Melentur buluh biar dari rebungnya. Nak mendidik anak bangsa biar dari mereka kecil. Yang salah, haruslah ditegur (untuk kesalahan pertama kali) dan mungkin dihukum dengan hukuman setimpal dan logik (jika kesalahan itu berulang lagi).

Untuk kes-kes buli sebenarnya bermula dari perkara macam ini lah. Mula-mula seawal darjah satu kononnya nak bergurau, main tolak-tolak, main tendang-tendang kaki kawan, sorok barang kawan, niatnya nak bergurau. Tapi lama-lama ianya akan jadi keseronokan bagi murid-murid itu melakukan hal sedemikian. Berapa ramai murid yang balik sekolah berkaki ayam, kasut dua-dua belah hilang, alat tulis tak payah cerita, ini perkara normal kalau pemadam hilang, pensil lenyap. Aduan-aduan dan keluhan macam ini selalu ada dalam wasap group sekolah. Ada ibu yang mengadu kaki anaknya lebam sebab kawan-kawan main tendang-tendang kaki.

Berbalik pada cerita Zhareef tadi, ada satu perkara lagi yang buat aku tersentuh ialah ibu budak yang tolak Zhareef sampai berdarah bibir personally wasap aku minta maaf bagi pihak anak dia.

“Salam puan. Saya dan suami mewakili Hazeem (ye nama budak yang tolak Zhareef ialah Hazeem) mohon maaf sebab Hazeem tertolak anak puan sampai berdarah”

Sampai sekarang aku dan mak Hazeem ini berkawan, hahaha. Kalau ada apa-apa hal sekolah yang dia blur, dia akan tanya aku dan begitulah sebaliknya.

Kadang-kadang silaturrahim itu datang dari satu hal yang tak terjangka. Punca dari kisah anak-anak tolak menolak, tak pasal-pasal mak-mak jadi kawan. 

Panjang betul mukadimah aku, sebenarnya aku nak cerita macam mana akhirnya aku berjaya pujuk Zhareef sertai taekwondo. Lama betul dia nak setuju, ambil masa 3 tahun. Sekarang Zhareef darjah 4. Dia dah ada keberanian sikit cuma confident level masih ditahap rendah. 

Dia argue bila aku minta dia sertai taekwondo.

“Mama kata tak baik pukul orang, habis tu kenapa suruh saya masuk taekwondo?”

Dan aku pun tarik nafas panjang lalu cuba meleraikan kekusutan fikiran dia.

“Abang, mama suruh abang belajar taekwondo bukan untuk pukul orang. Seni mempertahankan diri bukan untuk kita suka-suka pukul orang tapi untuk kita pertahankan diri kita kalau ada orang buli atau cuba nak pukul kita. Kita defend diri kita. Dan satu lagi, kalau abang tau apa-apa seni menpertahankan diri ni, at least abang konfiden sikit nak berdepan dengan orang, jadi berani dan tak lembik”

Tapi dia masih belum setuju. Maka, husband aku pulak ambil alih tugas ini.

“Abang dengan adik nanti sama-sama belajar taekwondo. Abang takde la belajar sorang, adik ada sekali. Apa nak takut. Nanti mama dengan papa temanlah”

Sekali jer bapak dia cakap, terus dia diam. Setuju dalam keterpaksaan.

Eh suara bapak-bapak ni kalau bercakap atau memberi arahan pada anak cukup sekali jer, terus anak mendengar kata, tak banyak argument, tunduk dan patuh.

Aura suara bapak ni lain macam kan. Sama macam zaman kita kecik-kecik dulu pun macam tu kan, kalau mak bersuara kita boleh buat rilek, tapi bila bapak bersuara semua dah gerun. Bunyi bapak bersin pun dah ngeri, itu belum bapak bangun. Betul tak? Muahahahaaa

Begitulah kisahnya setelah 3 tahun kejadian kena tolak sampai bibir berdarah barulah Zhareef setuju nak menyertai kelas taekwondo. Sebenarnya setiap tahun aku pujuk dia masuk taekwondo, dia tetap tak mahu. Aku minta dia masuk Karate lagi dia tolak bulat-bulat. Husband aku masa tu tak berkeras lagi, tapi kali ni memang dia berkeras.

Inilah pertama kalinya aku ‘memaksa’ anak aku membuat sesuatu demi untuk kebaikan diri dia sendiri. Bila dia dah besar nanti dia akan faham hidup sebagai lelaki kena kuat, kena kental, kena berdisiplin, kena konfiden dan kena berani.

Tapi Zhareef ni kan tetap nak kenakan aku, nak perangkap aku.

“Masa mama sekolah dulu ada belajar taekwondo tak?”

“Tak..” aku jawab perlahan-lahan.

“Kenapa tak belajar? Kata suruh jadi berani?” dia persoal lagi.

“Sebab dulu mama tak belajar la sekarang mama suruh abang belajar, nanti boleh protect mama” begitu jawapan selamat aku bagi.

Dia sengih saja. Bab nak perangkap aku dia sentiasa ada idea.













No comments: