Monday, July 4, 2022

Jangan jadi robot

Aku rasa inilah bahana yang membawa bencana kepada sekalian manusia yang hidupnya bertongkatkan ilmu pengetahuan berdasarkan hafalan tanpa memahami apakah maksud ilmu itu.

Kalau kita nak lebih ‘feel’ baca quran, kita kena faham maksud ayat yang kita baca itu. Sama juga macam kita belajar di sekolah. Kalau belajar Sains contohnya, kena faham dulu konsepnya apa, tujuan dan kesan. Lepas tu baru kita ingat dan hafal. Kalau kita hanya menghafal tanpa memahami, kita tak ada bezanya dengan burung kakak tua yang pandai bercakap tetapi dia bukan faham pun apa dia cakap. Burung itu hanya mengikut saja apa tuan dia ajar.

Bila mendengar kenyataan menteri-menteri dan pengarah-pengarah di media, terasa macam pelik macam mana mereka ini boleh diangkat menjadi seorang ‘ketua’. Kenyataan yang dikeluarkan macam budak baru lepas lulus UPSR cukup-cukup makan. Mereka tidak berfikir dulu ke sebelum bercakap? Mereka tak kaji dulu? Owh lupa. Mereka selalunya akan laksanakan dulu lepas itu baru kaji, bukan kaji dulu baru laksana.

Masa aku kecik dulu, aku kerap dengar abah membebel. Abah aku kalau bercakap memang agak kasar. Aku dah biasa dengar kekasaran ayat-ayat dia yang menikam kalbu. Kalau bapak orang lain mungkin akan menegur dengan ayat yang lemah lembut, tapi abah aku tidak. Ayat dia memang makan dalam.

“Kau jangan jadi macam robot. Kau tau robot? Kena diprogramkan dulu baru bergerak. Kalau tak diprogramkan keras lah kat situ tak boleh buat apa. Otak ada kan? Gunakan otak tu untuk berfikir. Jangan jadi robot. Apa gunanya Tuhan bagi kau otak kalau tak pandai nak pikir”

Itu salah satu contoh ayat abah aku. 

Apa yang aku nampak, sistem pendidikan yang sejak dulu memang menjadikan kita robot. Sistem peperiksaan yang dah disediakan skema jawapan, contoh-contoh soalan yang bakal keluar akan dihafal oleh murid supaya sekolah bangga semua murid lulus straight A, sekolah pun bangga dengan pencapaian dan boleh serahkan report kepada KPM yang sememangnya hanya mahukan result yang ‘cantik’ sahaja.

Sekarang bila teknologi dah semakin maju, dengan mudah kita boleh mendapatkan maklumat di media sosial. Sekarang baru aku faham kenapa sekolah-sekolah cemerlang bertungkus lumus memandaikan murid dengan skema-skema jawapan dan menyediakan soalan-soalan spot. Orang-orang KPM hanya mahukan keputusan yang cantik dan cemerlang sahaja. Kalau keputusan ada cacat sikit, guru-guru kena soal.

Keputusan cemerlang dan ‘cantik’ itulah yang melahirkan ketua-ketua pengarah dan menteri-menteri robot. Mereka seakan-akan dah ada skema jawapan.

Kalau ditanya begini, jawabnya mesti begini.
Kalau ditanya begitu, jawabnya mesti begitu.

Harga telur mahal, kurangkan makan telur.
Harga ayam mahal, tak payah makan ayam.
Harga tepung mahal, tak payah makan roti canai.
Tol naik harga, tak payah lalu tol.
Tiket train naik harga, tak payah naik train.
.
.
.
Adakah begini jawapan dari seseorang yang bergelar ketua dalam sebuah organisasi dan badan-badan kerajaan?

Mereka tak ada solusi, hanya memberi skema jawapan saja. Yang mencari solusi ialah kita sendiri. Pandai-pandailah kita fikir macam mana nak hidup.

Kita ini manusia yang dianugerahkan akal. Akal kita mesti kreatif. Kreatif itu sering dikaitkan dengan seni. Kalau kita duduk dan fikir semula, kau perasan tak kehidupan kita ini sebenarnya memang dikelilingi dengan kesenian. Seni itu kreatif, kreatif itu seni.

Seni memasak
Seni mempertahankan diri
Seni lakonan
Seni nyanyian
Seni berfikir

Berfikir pun ada seninya. Macam mana nak melahirkan generasi yang berseni dan kreatif cara berfikir? Bukan dengan menyediakan skema jawapan tapi dengan cara membawa mereka meneroka alam yang luas ini, bagi mereka sentuh dan rasa, hidu dan lihat dengan mata. Susah kan sebab disekolah kita hanya belajar teori dalam buku. Otak kita susah nak membayangkan benda sebenar macam mana rupa. Kalau ada fasiliti yang baik disekolah, bolehlah tunjukkan secara visual kepada murid, baru mereka nampak dengan jelas.

Kemudian boleh bagi murid satu masalah dan minta mereka mencari idea solusinya. Ya kita akan dengar macam-macam jawapan dari murid, ada yang logik ada yang tak masuk akal. Tapi percayalah, dari situ kita melatih mereka berfikir dengan kreatif. Minta pandangan mereka. Bukan hanya bagi homework tulis berjela-jela dalam buku tapi murid tak faham pun apa yang cikgu ajar.

Ketua-ketua pengarah dan menteri sekarang adalah hasil produk sistem pendidikan terdahulu. Boleh bayangkan sistem pendidikan yang carca marba sekarang akan melahirkan produk pengarah dan menteri yang macam mana 20-30 tahun akan datang?

Orang yang menggubal dan merombak silibus pendidikan tak boleh syok sendiri. Seperti yang aku highlightkan diatas, nak tahu perkara itu berjaya atau tidak, berkesan atau tak berkesan, kita sendiri kena turun padang.

“Sentuh dan rasa, hidu dan lihat dengan mata”


Maksud tersirat disebalik apa aku tulis ini ialah kita sendiri kena berani buat kerja guru. Cubalah penggubal silibus itu sendiri masuk kelas dan mengajar, tengok tahap penerimaan murid, tengok pemahaman murid dan kesannya. Bukan hanya tahu menggubal dan hanya menanti keputusan yang cantik sahaja. Lepas itu dengan angkuhnya kau keluarkan kenyataan ‘silibus yang ada sekarang tak susah mana pun’. Dia berani memberi kenyataan begini mungkin anak dia tak ada masalah speech delay, autism atau ADHD. 

Kau turun padang sama-sama, kau lihat sendiri, kau dekati murid yang lemah, cari solusi macam mana nak bantu murid ini. Yang lemah takkan kau nak biarkan mereka terus lemah? 

Satu lagi isu berkenaan streaming class. Sudah beratus tahun rupanya kita mengamalkan streaming class, asal usulnya datang dari orang barat. Merekalah yang memperkenalkan streaming class. Tujuan asal streaming class adalah untuk memudahkan guru-guru membimbing murid yang lemah. Itulah tujuan asalnya. Tapi sekarang streaming class dah jadi satu perbandingan kelas pandai kelas bodoh, murid pandai murid bodoh. Aku difahamkan ada setengah guru yang memilih nak mengajar murid pandai sahaja, lebih mudah katanya. Aku tak terkejut sebab sememangnya wujud guru sebegini. Streaming class atau tiada streaming class, ada cara lain bagaimana nak bantu murid yang lemah. Ada caranya. Sebab itu penting pemikiran yang kreatif supaya kita tak duduk dalam takuk lama tanpa ada idea-idea baru. Yang penting idea baru itu mencari solusi, bukan memberi skema jawapan.

Aku teringat kata-kata seorang guru dalam satu filem Tamil.



“If you want to teach only the smart students, you don’t deserve to be a teacher”

Inilah rangkap ayat dalam filem ini yang paling aku ingat. Guru tidak boleh memilih-milih nak mengajar murid pandai sahaja. Kalau begini gayanya, akan semakin tercicirlah murid yang lemah.

Filem tamil Raatchasi ini aku recommend untuk tonton. Filem yang mengisahkan perjuangan seorang guru disebuah sekolah yang hampir hanyut dengan rasuah, sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab pihak atasan. Sila lah tonton. 

Satu lagi aku suka nak cakap, janganlah gunakan perkataan ‘murid bodoh’ tapi gantikan dengan ‘murid lemah’. Berulang kali asik sebut murid bodoh lama-lama semakin bodohlah budak tu.

Aku ada seorang kawan yang merupakan seorang guru. Dia mengajar anak aku disekolah tanpa aku sedar dan aku memang tak perasan langsung dia ada dalam group whatsapp kelas. Kelakar ada, geram pun ada.

Kalau aku rajin dan baik hati nanti aku kongsilah cerita dia. Doakan aku rajin dan baik hati sebab aku selalu sangat digoda syaitan lalu terus jadi malas dan tak nak kongsi cerita.
















No comments: