Thursday, July 7, 2022

Adik beradik

Hubungan adik beradik ini mesra dan baik ketika diusia kecil saja. Waktu kanak-kanak, kita bersama adik beradik memang rapat. Makan berkongsi, tidur sebilik, pergi sekolah sama-sama dan sentiasa bantu-membantu kalau ada masalah.

Tapi bila usia menginjak dewasa, sorang dah masuk asrama, sorang dah mula bekerja, sorang dah kahwin dan beranak pinak, maka hubungan adik beradik semakin lama semakin menjauh.

Maka benarlah apa abah aku kata, yang dikatakan ‘adik beradik’ ialah masa kita kecik saja, bila dah besar hubungan ‘adik beradik’ macam dah pudar, hanya sekadar bagitahu orang…

“Ini abang saya”

“Ini kakak saya”

“Ini adik bongsu saya”

Perkara yang paling membimbangkan aku ialah pergaduhan adik beradik. Jika dalam sesebuah keluarga mempunyai hubungan adik beradik yang saling sepakat dan bersefahaman, aku memang tabik sangat. Sebab aku tahu bukan mudah nak mengekalkan hubungan air dicincang tidak akan putus ini. Kadang-kadang tanpa kita sangka air mengalir yang kononnya dicincang tidak akan putus itu boleh bertukar menjadi air batu yang membeku dan keras, bila dicampak ianya akan pecah berderai lalu bersepai dilantai.

Aku dah banyak lihat adik beradik yang saling berantakan. Aku tak cakap pasal orang lain tapi aku cuma memerhatikan hubungan makcik dan pakcik aku dikedua-dua belah keluarga, belah abah dan belah emak. Aku rasa keluarga orang lain pun lebih kurang sama saja situasinya.

Hubungan makcik dan pakcik mula berbalah selepas kematian arwah atok. Aku rasa cerita ini cliche, memang berlaku dimana-mana. Berebut duit dan harta.

Aku nak tanya, seronok sangat ke berebut harta atok nenek ni? Kalau atok nenek aku tu jutawan Megah Holding tak apalah juga. Tapi itu lah, manusia ini kalau dah nampak duit automatik perangai terus bertukar seperti puaka. Sebelum itu elok saja perangai seperti manusia. Entah mandrem apa yang syaitan hembus terus berbalah dan berpecah belah. Syaitan bersorak girang sebab dia dah menang.

Dulu lama dah dulu, aku pernah dengar Linda Onn memberi satu statement di Melodi, dia cakap macam ini…

“Duit yang kita cari dengan usaha sendiri lebih seronok untuk dibelanjakan berbanding duit orang lain yang kita ambil”

Aku pegang kata-kata itu. Sebab itulah selepas habis degree, aku terus datang ke Kuala Lumpur dari Perlis untuk cari kerja. Aku cakap sama emak, aku nak kerjalah, tak kisahlah kerja apa asalkan aku ada duit sendiri. Aku tak nak melepak kat kampung lama-lama. Aku yang pilih untuk sambung belajar, abah dan emak tak memaksa pun aku belajar. Jadi, bila aku dah tamat belajar (tapi belum konvo) aku tak nak balik kampung. Aku naik bas dari Perlis pergi ke USJ rumah kawan aku di Court 7, dekat dengan Taipan. Dia kawan baik aku dan aku stay dengan dia secara percuma untuk sementara waktu. Hehe. Dia kata tak apa duduk je dengan dia, nanti kalau dah dapat kerja baru lah kongsi-kongsi bayar sewa. Jasamu ku kenang, syorgaaa untukmu sahabat. Sebagai balasan dengan jasa baiknya waktu itu, aku dengan rajinnya masakkan untuk dia. Aku tanya nak makan apa? Aku masakkan tapi barang dia kena beli lah, hihi. Maklum lah aku tak berduit lagi masa tu. Fresh graduate kononnya.

Aku ini ada syndrom anak sulong yang mana aku memang tak suka menyusahkan orang. Nak handphone, aku beli sendiri, nak kereta aku kumpul duit sendiri beli kereta. Cuma rumah saja yang aku tak terfikir nak beli. Entah aku pun tak tahu kenapa aku tak ada keinginan nak beli rumah. Mungkin faktor gaji waktu itu barangkali. Syukur juga abah aku yang tolong carikan rumah di kampung, boleh lah buat aset di masa depan.

“Aku bayarkan rumah ni dulu. Nanti tiba masa kau dah ada duit kau kena sambung bayar”, kata abah.

Baiklah. Perjanjian kami berdua antara aku dengan abah. Abah belikan aku rumah, dia bayarkan deposit 20% dan dia yang bayarkan installment selama lebih kurang 7 tahun. Selepas itu aku buat settlement dan sekarang rumah itu tidak ada hutang lagi. Alhamdulillah.

Rumah kos rendah saja yer bukan rumah agam orang kayangan. Macam tak percaya pulak rumah tu dah tak ada hutang. Itulah gunanya duit EPF yer. Hahaha.

Hanya rumah itulah perkara yang aku menyusahkan abah aku. Bukan aku yang nak beli tapi abah yang beria suruh beli. Dia yang uruskan dari A sampai Z. Tau-tau dia call suruh balik kampung untuk sign dokumen depan lawyer. Proses renovation pun abah yang buat. Tau-tau aku balik rumah dah lawa. Lawa lah untuk orang marhaen macam aku ni.

“Kalau sesak-sesak akan datang nanti, mana tau kau tak ada tempat nak duduk, ni rumah kau ada. Sekurang-kurangnya kau ada tempat nak tinggal. Jangan merempat rumah orang”

Kau nampak tak kasih sayang seorang bapak kepada anak perempuannya? Jauh betul abah aku berfikir. Dia takut aku terkontang kanting tak tahu mana nak tuju, sekurang-kurangnya ada sebiji rumah di kampung atas nama aku sendiri, hak milik aku sendiri, aku boleh tinggal disitu tanpa perlu minta izin dengan sesiapa termasuklah adik beradik aku.

Begitu juga dengan duit simpanan. Semua adik beradik aku ada buku bank masing-masing. Dapat duit raya, abah kumpul lepas itu simpan dalam bank. Nanti ada satu waktu abah akan panggil dan tunjuk buku bank…

“Kau tengok ni jumlah duit kau dalam bank. Ni semua untuk masa depan kau. Jangan lupa simpan duit. Tak dapat simpan banyak, simpan sikit-sikit. Setiap orang ada buku simpanan masing-masing, jadi tak payah nak berebut duit. Masing-masing ada duit simpanan sendiri”

“Kalau aku mati nanti, aku tak nak kau bergaduh adik beradik. Aku ni kalau boleh nak kau adik beradik dapat semua bahagian sama rata. Aku tak nak kau orang berbalah berebut. Kau jangan ikut perangai makcik pakcik kau”

Dan sekarang, aku praktiskan pula apa yang abah pernah buat dulu pada anak aku. Aku bukakan buku simpanan sorang satu. Semua duit raya atau duit yang orang bagi, aku kumpul dan simpan dalam bank. Selagi belum terdesak, kalau boleh lah…jangan usik duit anak-anak. Itu duit mereka, untuk kegunaan mereka dimasa depan. Masa depan mereka lebih mencabar. Kalau kehidupan sekarang pun kita dah rasa sukar dan kadang-kadang tertekan, apatah lagi kehidupan anak aku 10-20 tahun lagi. Masa tu berapalah harga sebiji telur agaknya?

Macam dah jauh pulak aku merepek bercerita ni. Sebenarnya aku ada seorang pakcik yang dah makan duit faraid. Duit atau harta pusaka jangan dibuat main, kalau tak dibahagikan secara kaedah yang betul, tanggunglah dosa itu sampai nyawa kau terpisah dengan jasad. Aku baru tahu cerita ini, selama ni aku sangka dia manusia, rupanya….

Aku masih tak boleh hadam macam mana dia boleh bersepakat dengan pekerja bank, tiru tandatangan arwah atok aku dan keluarkan semua duit arwah atok tanpa dibahagi-bahagikan dengan adik beradik dia yang lain.

Aku ngeri dengan orang macam ini. Aku rasa tak ada saudara macam ni pun tak apa lah. Dia ada aku tak untung, dia tak ada aku tak rugi.

Betul lah Linda Onn kata, duit hasil titik peluh sendiri lebih seronok untuk dibelanjakan berbanding duit orang lain yang kita ambil

The best statement so far.
.
.
.
Banyak lagi kalau nak cerita. Nantilah sambung.














No comments: