Friday, December 29, 2023

Abah dalam ingatan

Hari ini genap 30 hari abah meninggalkan kami sekeluarga. Hari raya yang lepas adalah raya terakhir abah bersama-sama kami. Sambutan hari lahir abah bulan Mac yang lalu adalah yang terakhir kali sebelum abah menutup mata dan pergi. Baru aku faham perasaan macam mana dah tak ada bapa.

Semua orang akan melalui fasa ini. Fasa kehilangan ahli keluarga. Cepat atau lambat saja. Abah mula tak sihat sejak 6 tahun yang lepas. Semakin hari ingatan abah semakin merosot. Banyak perkara yang dia lupa. Dia lupa dia dah makan, dia lupa dia dah minum dan dia lupa apa dia cakap. Bila nak bawa dia ke hospital jumpa doktor dia menolak mentah-mentah. Itulah perangai tipikal orang tua. Dia kata dia tak sakit, buat apa nak pergi hospital.

Kemudian abah diserang sakit saraf kaki. Kaki dia lembik tak boleh berjalan. Kena papah atau kena guna wheelchair untuk bergerak. Masa ni bawa dia buat rawatan hospital dan cuba juga cara lain, mak belikan mesin apa entah, aku lupa. Tak lama lepas tu kaki dia elok, dah boleh berjalan macam biasa tapi dia tak boleh berdiri lama. Cepat penat.

Tahun ini kesihatan dia semakin merosot. Badan semakin kurus kering tapi dia makan macam biasa. Apa yang mak masak, dia makan tanpa sebarang komplen. Cuma tahun ni dia banyak terbaring dikatil disebabkan ubat penenang yang doktor bagi. Setelah beberapa kali berjumpa pakar, akhirnya doktor diagnose abah ada Dementia. Dementia ini ialah memory lost. Dalam bahasa mudah, nyanyuk. Jadinya, doktor pakar bagi ubat untuk menenangkan dia kerana penyakit Dementia ini tiada ubat untuk pulih, ubat hanya untuk menenangkan. Bila makan ubat tu, abah banyak baring dan tidur.

Tapi bila terlampau lama asyik tidur dan kurang makan, abah diserang gastrik pulak. Doktor bagi ubat gastrik dan doktor pakar terpaksa kurangkan dos ubat penenang tu. Bila kurangkan ubat penenang, abah suka merapu pulak. Mak la jadi mangsa tak boleh tidur malam sebab abah kerap meracau dan bercakap sorang-sorang. Fasa ini sangat kritikal. Bagi ubat penenang salah, tak bagi salah. Tiba-tiba dapat gastrik pulak.

2-3 hari sebelum abah meninggal, mak beritahu abah dah tak boleh bangun. Kalau bangun mesti akan jatuh. Bila orang angkat dia semula ke katil, dia bangun lagi dan jatuh lagi. Sehari sebelum dia meninggal, mak kata abah dah tak sedarkan diri. Aku mintak mak terus telefon ambulan dan bawa abah ke hospital Mersing.

Sampai di hospital Mersing, abah terus dimasukkan ke ICU. Bacaan oksigen rendah, gula rendah tapi BP normal. Ada sedikit kuman di paru-paru. Doktor on antibiotik. Doktor tanya mak dan adik aku sejarah penyakit abah. Doktor kata Dementia bukanlah penyebab abah tak sedarkan diri. Aku syak abah tak sedar sebab gula rendah. Itu aku yang syak, aku bukan doktor, aku cuma syak saja.

Esoknya pukul 2.40 pagi, adik aku telefon. Aku dah berderau bila dapat panggilan diwaktu-waktu begini. Abah dah tak ada, kata adik aku. Innalillahi wainnailaihi rojiun, abah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 2.36 pagi. 

Segala persiapan dilakukan oleh pihak hospital. Adik aku tolong sama-sama mandikan abah, kafankan dan terus dibawa ke masjid Endau untuk disembahyangkan. Seusai sembahyang, terus dibawa ke kubur untuk dikebumikan. Pukul 11.30 pagi, segalanya dah selesai, alhamdulillah Allah permudahkan semuanya. Aku kalau boleh memang nak semuanya cepat, menguruskan hal kematian tak boleh lambat-lambat, kesian abah nanti dia terseksa. 

Semasa aku peluk dan cium abah, aku ambil gambar muka abah untuk kali yang terakhir. Gambar muka abah yang bersih dan sejuk untuk aku tatap dikemudian hari. Dari mula sampai habis urusan pengebumian abah, aku tengok dan saksikan, aku rakam di lensa kamera telefon. 

Abah, terima kasih kerana telah membesarkan aku. Terima kasih kerana telah memenuhi segala keperluan aku. Terima kasih diatas setiap pesanan dan ingatan. Inilah fasa dalam kehidupan aku yang paling lemah sekali. 

Selamat jalan ke negeri abadi abah. Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosa abah, lapangkan kuburnya dan tempatkan abah dikalangan orang-orang beriman.

Abah akan sentiasa dalam ingatan kami.
















No comments: