Wednesday, May 20, 2009

Kisah seorang pemandu teksi

Percayalah bahawa Allah itu maha adil kepada setiap hambaNya. Kadangkala kita terpaksa belajar menerima kenyataan walaupun ianya pahit untuk ditelan. Ada masanya kita terpaksa menerima hakikat bahawa tidak semua keinginan dan impian kita menjadi kenyataan. Pada waktu tertentu kita merasakan jalan hidup ini begitu lurus dan mengasyikkan, tetapi pada waktu tertentu juga kita merasai ada sedikit jalan bengkang-bengkok dan berbukit-bukau serta memeningkan kepala. Pada waktu itu kita pastinya menyumpah-nyumpah dan berkata didalam hati, mengapa aku yang mesti mengharungi semua kesusahan ini? Mengapa aku mesti melalui semua jalan yang bengkang-bengkok ini? Kenapa aku yang harus merasai semua keperitan ini?Kenapa aku ya?

Kerana Allah ingin menguji kita, sejauh mana tabah dan tebalnya iman didalam hati.

Saya pernah melalui satu fasa hidup dimana pada waktu itu saya merasakan hidup ini tidak adil. Saya tidak dapat apa yang saya mahu, impian saya berkubur begitu saja, apa yang ada didepan mata saya tidak pedulikan tetapi apabila ia hilang baru saya menyesal kerana tidak menghargainya. Apabila usia semakin meningkat dan tahap pemikiran saya juga semakin matang, baru saya sedar bahawa hidup ini sentiasa adil, cuma kita yang tidak mengerti dan menghargai apa yang Allah telah kurniakan. Saya tidak cukup berusaha untuk merealisasikan impian saya, kerana itulah ia tidak menjadi kenyataan. Saya kehilangan sesuatu setelah lama saya tidak mempedulikan ia, itu adalah balasan keatas kecuaian saya.

Saya tidak tahu adakah orang lain pernah terfikir apa yang saya fikir. Suatu masa dulu saya selalu berfikir mengapa saya tidak jadi kaya?Mengapa saya selalu tidak cukup duit walaupun saya mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan yang sederhana. Persoalan itu berterusan beberapa tahun. Saya meneruskan hidup ini seperti biasa, adakalanya saya merungut marah, tidak puas hati, geram dan pelbagai perasaan bersarang dikepala. Sebagai manusia normal, pastinya kita sentiasa tidak puas dengan apa yang ada.

Pada suatu hari saya menahan sebuah teksi dari USJ Subang Jaya untuk ke PJ. Teksi pertama tidak mahu mengambil saya, jalan jem katanya. Itulah sikap pemandu teksi yang selalu buat saya bengang. Peduli apa jalan jem, itukan tugas dia untuk membawa teksi, dan sebagai penumpang sudah tentu kita akan bayar dia. Kalau setiap masa nak lalu jalan clear, smooth dan tak jem, lebih baik jangan jadi pemandu teksi. Faham-fahamlah KL kan, jalan mana yang tak jem.

Sambung semula bab tadi, saya menahan teksi kedua dan alhamdulillah dia mahu menghantar saya ke PJ. Saya tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki yang memandu teksi itu tetapi saya mengagak usianya dalam lingkungan pertengahan 30-an. Orangnya sangat peramah dan suka berbual. Saya melayan saja perbualannya. Banyak perkara yang kami bualkan memandangkan jalan pun sesak, jadi panjang lebarlah kami berbicara. Saya tidak tahulah nak kategorikan sebagai kebetulan atau apa, mungkin memang kebetulan agaknya. Segala persoalan saya selama ini terjawab oleh pemandu teksi itu. Dia mula bercerita mengenai kisah hidupnya. Dia belajar di UK, mengambil ijazah dalam bidang kejuruteraan. Kemudian tamat belajar dia bekerja dengan Malaysia Airlines(MAS) selama beberapa tahun dengan pendapatan RM6K sebulan. Banyak tu. Jadi sekarang mengapa dia jadi pemandu teksi? Persoalan inilah yang menarik. Ia membuatkan saya begitu teruja ingin tahu. Saya merasakan lelaki ini begitu istimewa.

Katanya, dia berhenti berkhidmat dengan Malaysia Airlines kerana merasakan waktu itu hidupnya tidak tenang. Walaupun pendapatannya RM6K sebulan, tetapi dia selalu tidak cukup duit. Dia sendiri tidak tahu kemana perginya duit itu, apa yang dibelinya pun dia tak tahu. sedar-sedar saja duit dah habis. Setiap hari dia berdepan dengan pelbagai masalah kerja dipejabat. Ada kalanya dia marah, ada kalanya dia merungut tidak puas hati. Ada waktunya dia merungut bosan, menyampah, benci dan macam-macam perasaan timbul di tempat kerja. Sebagai seorang pekerja yang bekerja makan gaji, sudah tentu kita terikat dengan peraturan dan arahan dari pihak atasan, dan pihak atasan itu adalah bos kita sendiri. Lelaki ini berkata dia selalu tertekan, sakit hati dan bosan. Itulah yang dia hadapi setiap hari. Dan akhirnya dia membuat satu keputusan nekad, berhenti kerja!

Lelaki ini kemudiannya mengambil keputusan untuk menjadi pemandu teksi. Dia tidak mahu lagi bekerja dibawah arahan orang. Dia tidak mahu makan gaji lagi dan dia ingin bekerja sendiri. Sedar tidak sedar sudah 8 tahun dia membawa teksi ke hulu ke hilir di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Saya semakin ingin tahu mengapa profesion 'pemandu teksi' menjadi pilihannya? Dia pun mula menerangkan kepada saya, bahawa tidak kiralah apa jenis pekerjaan yang kita lakukan, yang penting adalah KEIKHLASAN.

Keikhlasan akan membawa kita ke jalan yang menggembirakan. Seperti dirinya, sewaktu bekerja dengan MAS, dia rasa dirinya tidak ikhlas melakukan kerja setiap hari. Hari-hari dia merungut, marah, berkata bosan dan tertekan. Kerana ada perasaan sebegitu, dia tidak jadi kaya atau hidup senang walaupun duit gajinya lumayan. Apabila kita tidak bekerja dengan penuh ikhlas, maka gaji yang diperolehi setiap bulan menjadi tidak berkat! Wow...saya terkedu. Katanya lagi, sebab itu ada orang gajinya RM10K pun masih merungut tak cukup duit. Padahal gajinya besar, tetapi mengapa masih tak cukup duit? Kerana gajinya tidak diberkati oleh Allah SWT.

Setelah dia menjadi pemandu teksi, hidupnya lebih gembira dan tenang. Dia bebas hendak keluar bekerja pukul berapa, balik rumah pukul berapa, hendak berhenti makan pukul berapa dan hendak balik tidur pukul berapa...tiada siapa peduli dan tiada siapa boleh marah. Dia tidak terikat dengan sebarang majikan dan dia bebas menentukan apa yang dia mahu. Selama 8 tahun dia ke hulu ke hilir mengambil dan menghantar penumpang, dia berjaya beli rumah secara tunai dan membeli kereta juga secara tunai. Hebatkan?

Lebih mengkagumkan saya, lelaki ini sudah berkahwin dan isterinya seorang peguam. Dia mempunyai 2 orang anak yang dijaganya sendiri. Dia yang menampung perbelanjaan semasa isterinya sambung belajar dalam bidang undang-undang. Dia sendiri yang menggalakkan isterinya belajar dan bekerja. Isterinya juga gembira dan lebih senang dia bekerja sebagai pemandu teksi. Ini kerana, isterinya tidak perlu mengupah orang gaji untuk menjaga anak-anaknya, isterinya tidak perlu mengambil cuti jika sesuatu berlaku pada anak-anaknya, tidak perlu terkejar-kejar hendak membayar bil elektrik dan air dan tidak perlu rushing untuk menghantar anaknya ke klinik jika anaknya sakit. Selama 8 tahun, lelaki itu berkata dialah yang pergi bayar bil, dia yang menghantar dan mengambil anak-anaknya dari sekolah dan dia yang menguruskan ke klinik atau hospital jika anaknya sakit. Dia tidak kisah melakukan itu semua kerana dia IKHLAS melakukannya, dengan rela hati tanpa dipaksa oleh sesiapa termasuk isterinya. Kerana itulah dia rasa selama 8 tahun itu hidupnya sudah banyak berubah. Dia tidak lagi merungut, tidak lagi marah-marah, tertekan atau mempunyai perasaan benci atau menyampah di tempat kerja. Hidupnya lebih tenang dan pendapatannya juga lebih berkat.

Dia sempat menasihati saya. Katanya, kalau awak dapat kerja nanti, kerjalah dengan ikhlas hati. Saya tahu bercakap tidak semudah melakukannya tetapi cubalah untuk tidak merungut, tidak mengeluh bosan, tidak mempunyai perasaan marah atau benci pada sesiapa. Mungkin ini lumrah manusia, setiap hari ada saja masalah yang timbul yang boleh membuatkan kita tertekan dan marah. Tetapi cubalah sedaya upaya selagi terdaya untuk mengawal emosi dan perasaan. Ternyata ianya tidak semudah apa yang disangka kerana untuk mengawal emosi marah dan tertekan memerlukan kekuatan mental yang begitu kental dan kekuatan hati yang waja.

Kisah saya bertemu dan berbual dengan pemandu teksi itu sudah 3 tahun berlalu namun segala butir bicaranya dapat saya ingat hingga ke hari ini. Apa yang diceritakan olehnya membuatkan saya berfikir dan mengenang kembali segala persoalan yang pernah menghantui kepala saya. Patutlah saya selalu tidak cukup duit, patutlah saya selalu tidak tenang dan hidup saya tidak semewah orang lain. Ianya berpunca dari dalam diri kita sendiri. Kita yang lalai, leka, ikutkan perasaan dan buta hati untuk berfikir. Kita sering menyalahkan takdir dan merasakan hidup ini tidak adil.

Seperti apa yang dikatakan oleh pemandu teksi itu, tidak mudah untuk mengawal emosi. Saya manusia yang lemah dan saya sering gagal untuk meletakkan tahap emosi saya ke paras yang normal. Adakalanya ia naik mendadak seperti air mendidih, adakalanya ia sejuk dingin seperti salju dan adakalanya ia seperti bahan yang lengai, imune,tidak mempunyai perasaan apa-apa. Hati dan jiwa mudah tersentuh dan sentuhan itu ada ketikanya boleh menghiris seperti pisau tajam. Saya sedang belajar untuk mengawal perasaan dan belajar bersyukur dengan apa yang ada. Lebih baik menghargai apa yang ada didepan mata sebelum ia hilang pergi dan waktu itu barulah kita tergapai-gapai menyesal tak terperi.

Ikhlas lah dalam melakukan apa saja. Jangan berdendam dan cuba belajar untuk meminta maaf dan memaafkan. InsyaAllah hidup ini lebih tenteram.

8 comments:

Reds said...

very very nice story...

J.U.L.I.E said...

yup...
sampai skg sy tak bleh lupa ngn pemandu teksi tu..dia dah bukak minda sy..

Anonymous said...

mcm2 jenis manusia yang ada di dlm mukabumi ini...itulah menunjukkan kebesaran Allah....susah nak carik pmd teksi mcm tu ye...

j.u.l.i.e said...

anonymous: 1 dlm 1000...

blurr33 said...

aku baru terserempak dgn entri ko nih.. thanks for the wake up call..
kekadang terlupa apa yang penting bila terlalu sibuk mengejar sesuatu yang tak penting..

j.u.l.i.e said...

blurr: saling mrngingati...aku pon slalu lupa, ingat balik...pastu lupa lagi.

Anonymous said...

Cerita sdr betul. Ramai yang bawa teksi tu manusia biasa. Memang ramai drebar teksi yang perangai setan dan cekik darah penumpang.
Saya bawa teksi, saya ada 2 degree dan 2 diploma. Dan paling penting, saya redha bawa teksi. Berbanding dengan fasa hidup terdahulu yang banyak mengeluh pasal duit tak cukup waimma makan gaji RM6-7 ribu dan pernah lebih dari itu semasa kerja di luar negara.
Yang penting kerja kena ikhlas, dan redha dengan apa yang Tuhan bagi. Ini life's lesson saya terima sebagai bonus bawa teksi.

Adakala saya gelak sendiri sebab ramai gak penumpang yang ingat saya ni pakcik yg patut dikesiankan sebab hidup melarat. Mungkin tak kaya duit, tapi kaya pengalaman hidup.
Kun fayakun.

j.u.l.i.e said...

Anon: rasa syukur sbb jumpa driver teksi yg mcm tu,at least sy sedar..
rupanya rmai pemandu teksi yg educated yer..