Showing posts with label Life. Show all posts
Showing posts with label Life. Show all posts

Tuesday, June 21, 2016

Rezeki

Kes 1.

Kes yang saban hari/bulan/tahun menjadi soalan paling digeruni oleh mereka-mereka yang belum berkahwin.

"Kau bila nak kawen Milah? Kau ni memilih sangat agaknya....bla,bla,bla"

Stress!


Kes 2.

Milah pun kawen, dapat la anak sorang, tapi Milah terpaksa bersalin secara czer diatas sebab-sebab tertentu atas nasihat doktor.

"Kenapa operate? Agaknya bontot kau kecik, sebab tu tak boleh beranak normal"

Sentap Milah. Milah menangis senyap-senyap dalam bilik. Apa orang ingat Milah sengaja ke suruh doktor tu belah perut Milah.


Kes 3.

Milah tak cukup susu, mungkin sebab Milah tak cukup ilmu, dan selalu stress atau pun memang Milah takde rezeki susu yang melimpah ruah macam orang lain.

"Kau bagi anak kau minum susu lembu, nanti anak kau perangai macam lembu".

Milah sentap 80 kali. Milah terkedu. Tapi Milah diam aje sebab Milah malas nak cari gaduh. Bukan Milah tak pernah jumpa budak menyusu ibu tapi perangai ya rabbi. Ya Milah tau betapa terbaiknya susu ibu tu, Milah tak pernah pertikaikan kebaikan susu ibu, tapi jangan lah sedap mulut nak kata anak orang macam lembu. Ingat Milah sengaja ke nak bagi anak susu lembu.


Kes 4.

Juga soalan yang agak gerun terutama bila jumpa sedara mara.

"Kau ni bila nak tambah anak Milah? Jangan tunggu-tunggu, umur dah makin meningkat, nanti susah nak beranak...bla,bla,bla.."

Stress lagi. Rasa nak menjerit kuat-kuat.



REZEKI orang tak sama. Jaga lah mulut sebelum berkata-kata atau bertanya soalan yang memang dah tau sensitif. Jangan ajar mulut tu berpuaka sangat.



Wednesday, June 1, 2016

workaholic

Tiba-tiba aku teringat ada orang bertanya pada aku:

"Kenapa ada sesetengah orang suka bekerja macam nak mati? Isnin sampai jumaat memang hari kerja, sabtu pun datang kerja (OT), ahad pun kerja. Pernah tu saya dengar, malam raya pun dia ada kat ofis"

Entah lah. It's depends pada apa yang kau kejarkan dalam hidup. Mungkin orang itu komitmennya tinggi, tambah lagi dia bukan permenant staff, so selagi boleh pulun, dia akan pulun. Bila dah takde projek macam sekarang, mana nak cekau duit kan..

Tambahan pula kalau lelaki, tanggungjawab sangat besar.

Tapi, tapi...ada buruknya juga kalau terlampau obses bekerja. Kau macam takde life, untuk diri sendiri pun takde masa, apatah lagi untuk keluarga. Jangan sampai anak tak kenal kau sudah, hehe.

Badan kita bukannya mesin. Mesin pun akan rosak bila tiba masanya. Jangan bekerja hingga memudaratkan badan sebab badan kita ni nak pakai lama. Otak kita pun pandai letih. Bila dah terlalu lama bekerja, fikiran kita pun tak produktif lagi. Silap-silap, kerja yang kita buat tu takde kualiti.

Tapi...nak buat macam mana....dah namanya pun kerja makan gaji...




Tuesday, April 26, 2016

Perjalanan hidup


Kita baru berada di stage 3. Ada 10 stage lagi yang bakal kita lalui.

Perjalanan kita masih jauh.

Perjalanan yang sebenar-benarnya.


Thursday, October 29, 2015

hikmah jerebu




Jerebu bukan bala dari Allah, tapi satu kejadian merosakkan alam yang disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Allah dah jadikan bumi ini cantik dah, lengkap dengan langit, awan, tanah, air, api...semuanya ada pelbagai kegunaan. Tapi kalau salah guna, ini lah akibatnya. Hampir 2 bulan sengsara menyedut udara jerebu.

Tapi pagi ini, langit biru, kualiti udara jauh lebih baik dari hari-hari sebelum ini. Harap-harap jerebu terus pergi dan jangan datang lagi.

Namun, dalam pada itu, banyak juga hikmah disebalik jerebu, antaranya:

- Kerana jerebu, kita tak keluar rumah, jadi dapat lah suami makan dengan isteri dan anak-anak. Kalau sebelum ni, mungkin susah atau jarang-jarang nak makan sama-sama. Tapi aku hari-hari makan sama-sama dgn suami dan anak, alhamdulillah.

- Sebab tak keluar rumah juga, satu keluarga dapat berkumpul, maka dapatlah si anak yang jarang-jarang dapat luangkan masa dgn mak ayah, dapat lah bermain dan bergurau sama-sama.

- Buat pelbagai aktiviti di rumah dengan anak. Contohnya, buat mainan DIY seperti buat jalanraya menggunakan tape, melukis dan mewarna dengan anak, buat bekas letak pen dengan kotak terbuang, jahit sarung bantal dengan t-shirt yang dah tak pakai...dan banyak lagi sebenarnya aktiviti yang boleh kita explore sepanjang terperap di rumah. Kalau tak sebelum ni, asal weekend je mesti keluar jalan-jalan.

- Tengok tv, layan movie puas-puas kat rumah. Anak aku pulak...layan kartun sampai lebam.

- Mencuba menu masakan baru. Hahaa...menjadi ke tak, belakang kira. Ye la, nak makan kat luar macam tak selesa dgn jerebu, so masak lah lebih baik, lagipun sekarang ada wabak demam kepialu kan.

- Kerana jerebu, aku lebih menghargai langit biru. Teruja nampak sunrise/sunset. Rasa nak lompat-lompat. Nampak matahari macam dapat duit menang loteri, excited tak terkata. Nampak tak...Tuhan cuma kaburkan alam 2 bulan je, 2 bulan tak nampak matahari dan langit biru. Tu pun kita dah rasa terseksa.


Tapi...ada tapinya juga...

Musim-musim jerebu, jemur baju bau asap, angkat jemuran letak dalam bakul...dah bertimbun dah macam gunung datuk dah aku tengok...



Bila nak lipat baju ni????





Tuesday, May 12, 2015

bijak berbelanja

Sekarang nak berbelanja barang dapur atau beli barang-barang keperluan anak, kena rajin survey harga, dan yang penting, kena ingat harga barang yang biasa kita beli.

Contoh, untuk yang ada anak kecik, confirm tiap-tiap bulan akan beli susu dan pampers. Kena ingat harga susu berapa yang selalu kita beli, begitu juga harga pampers.

2 hari lepas, aku ke Giant Seri Kembangan. Bukan semata-mata nak shopping situ tapi kebetulan husband aku ada nak jumpa orang. So dah alang-alang sementara menunggu orang tu sampai, aku 3 beranak masuk la giant dulu. Niat sebenarnya memang nak beli pampers anak.

Zhareef pakai pampers Drypers Wee Wee Dry saiz XL. Aku biasa beli yang pack besar 56 keping tu. Normally aku beli di Mydin, harga rm33.90 atau sometimes jejak rm34++. Di Giant, aku terkejut tengok harga pampers tu rm40.90. Termenung kejap aku, cuba nak recall balik harga yang selalu aku beli.

Husband aku kata jangan beli dulu, nanti kita pegi Mydin. Yup, decision yang sangat bijak. Balik ke Putrajaya, husband aku tak singgah Mydin, dia singgah pasaraya kecik biasa jek (aku lupa nama pasaraya tu) dan beli pampers dengan harga rm33.90.

Beza rm7 bak hanggg.

Banyak tu beza rm7....boleh beli nasi lauk ikan tongkol masak sambal, sayur, tauhu telur, sambal belacan sket. Hahahaaa.

Nasib baik harga susu kat Giant tak mahal, tapi dia naikkan harga barang lain pulak.

Taktik perniagaan.

Kena bijak berbelanja.

Kadang-kadang aku pelik apa yang turunnya harga barang selepas GST, rata-rata harga naik atau maintain, maintain tu dah kira bagus la daripada naik. Sekarang kalau shopping, bawak duit rm100 pun rasa risau, risau tak cukup. Dulu, bawak rm100 banyak benda boleh beli nokkkk, penuh 1 troli.

Tensen makkkk.



Wednesday, March 11, 2015

percaya

Banyak benda aku nak cerita kan, tapi aku biarkan saja. Banyak juga pengajaran dari cerita tersebut, tapi biar lah aku sorang saja yang tahu. Aku percaya setiap yang berlaku punya hikmah yang besar.

Manusia memang makhluk ciptaan Allah yang unik dan kadangkala aneh. Setiap tindak tanduk dan pemikiran manusia tidak dapat kita jangka. Kita jumpa manusia yang nampak baik, mulut manis, tapi belum tentu hatinya wangi. Kita jumpa manusia compang campeng, seksi, atau berbaju lusuh, tapi belum tentu hatinya busuk.

Kesimpulan, jangan mudah percaya pada orang.

Pesan William Shakespears dalam madah pujangganya:

"Sayangi semua orang, tapi percayakan hanya SEDIKIT orang saja"



Thursday, January 29, 2015

mindset


Aku cuba untuk memahami ayat Warren Buffet ni banyak kali. Apa kene mengena tamak dengan takut?

Jelas sekali ianya berkait rapat dengan 'mindset'.

Contoh 1:

Jualan buku murah Big Bad Wolf. Harga buku gila-gila punya murah dan orang berpusu-pusu pergi untuk membeli buku. Harga murah, jadi orang ramai mengambil kesempatan untuk membeli buku sebanyak yang mungkin. Ada juga yang membeli sebab murah, tapi tak baca pun.

Agak-agak la kan, kalau tak kerana adanya jualan buku yang murah tu, ramai tak orang datang untuk membeli buku?

Dan semua buku yang dibeli tu habis dibaca ke? To be honest, aku adalah salah seorang manusia yang belum habis membaca semua buku yang aku beli. Aku pernah pergi sekali saja ke Bid Bad Wolf, selebihnya aku banyak shopping buku online.

Jelas sekali disini, 'mindset' kita beli buku sebab murah, kita jadi tamak, bukan sebab kita memang betul-betul nak beli buku tu.

Contoh 2:

Bursa saham. Bila ekonomi goyah, harga saham jatuh. Pelabur jadi takut dan segera menjual saham-sahamnya. Mindset orang-orang kaya ni lain sikit, mereka takut pada harga yang murah. Pada mereka, saham jatuh mesti kena jual, takut rugi, takde untung kata mereka. Bukan macam kita rakyat marhein ni, kita suka pada harga yang murah.

Itu lah mindset.

Sama juga macam orang yang tak makan ikan. Masa kecik dia pernah tercekik tulang ikan, maka dia set dalam otak dia, "aku tak nak makan ikan, nanti tercekik tulang". Maka, sampai ke besar lah dia tak makan ikan. Hehehe.

Atau...

Kau tengok baju berlonggok atas katil atau sofa, baju tu dah setinggi gunung tahan. Memang letih tengok baju yang belum dilipat. Aku pun benci. Tapi, cuba kau set kat otak, "lipat baju sambil tengok tv pasti seronok". Kau set kan satu keseronokan ketika melipat baju, maka hasilnya mesti memberangsangkan.

Aku selalu ajak Zhareef tolong aku lipat baju. Apa yang dia buat, dia guling-guling atas longgokan kain baju tu, atau dia kecahkan semula baju yang aku dah lipat. 

Seronok bukan?

Muahahaa. Poyo.




Monday, January 5, 2015

2015 dan 1998


 ini kalendar tahun 1998


 dan ini kalendar tahun 2015


Sama kan?

Sapa kata kita tak boleh kembali ke zaman silam? hehehe

Kalendar 2015 dan 1998 adalah sama. 

Jom kembali ke tahun 1998. Enjoy!





Friday, November 28, 2014

Gangsterism

Kisah 1

Beberapa bulan lepas aku, zhareef, bapak zhareef dan seorang officemate bapak zhareef berada di satu kawasan di Cheras. Malam. Hujan tapi tak lebat. Ada urusan yang harus kami selesaikan. Kawasan itu memang crowded, jalan sempit sebab kereta parking kat tepi-tepi jalan.

Aku lalu satu lorong kecik belakang bangunan. Jalan tu one way.  Dah hampir di penghujung jalan, ada satu kereta Myvi hitam masuk. Ok, aku dah kata jalan tu one way, sepatutnya kereta Myvi hitam tu tak boleh masuk, atau kalau dia nak masuk jugak dia kena reverse balik sebab kereta aku nak keluar.

Apa yang jadi?

Driver tu bukak tingkap keluarkan tangan suruh kami berundur. Ok, aku dah berada hampir di penghujung jalan, jalau pertengahan jalan boleh maaf lagi. Kawan husband aku cakap, takpe undur je. Maka berundur la kami ke belakang sebab Myvi hitam tu tak nak mengalah.

That is gangsterism.

Kisah 2

Semalam, balik kerja aku, zhareef dan bapak zhareef pergi ke kawasan Jalan Pasar. Aku tak ingat lah which area tapi memang black area. Haha. Kalau tak kerana ada hal, takde maknanya aku nak pergi tempat macam tu. Kami menunggu seseorang. Park kereta di tempat parking yang betul dan tunggu.

Beberapa minit kemudian, orang yang kami tunggu pun sampai. Ok, kami pun nak gerak balik. Tiba-tiba datang seorang minah India mintak bayar duit parking rm3. Dengan muka tak bersalahnya dia suruh bayar. Husband aku pun pertikaikan balik, apa pulak nak bayar-bayar parking ni? Kalau hari siang logik la, ni dah malam. Minah India tu tak puas hati, terus nak melenting. Husband aku malas nak layan, start enjin terus blah. India tu terus bebel sorang-sorang sambil mata dia merenung tajam.

That is gangsterism.

Apa lah sangat bayar parking rm3 tu, tapi untuk apa nak meng 'kaya'kan gangster? Minah India tu berani melenting macam tu sebab ada geng-geng dia yang duk perhati kat kawasan tu. 

Sapa penah tonton filem KL Gangster? Filem itu sebenarnya memang ada realitinya. Kehidupan macam itu memang wujud. Seorang ketua akan jaga satu kawasan, ada kuli-kuli dia akan buat kerja. Salah satu kerja kuli dia yang macam minah India tu lah, paw orang suruh bayar duit parking, seolah-olah kawasan parking tu tanah dia.

Aku jadi takut bila memikirkan masalah gangster ni. Aku perhatikan kawasan sekeliling, memang menakutkan untuk membesarkan anak. Syukur lah aku tidak tinggal di kawasan sebegitu.

Aku tanya husband aku, sampai bila gangster-gangster kat KL ni nak dibiarkan macam ni? takde satu tindakan ke yang perlu dibuat?

Polis?

Entah. Susah nak cakap. Sebenarnya sensitif nak cakap. Tak payah cakap lah.





Wednesday, October 15, 2014

teknologi



haritu ada gambar perempuan mengandung dan menyusukan anak menjadi viral di fb. kejadian berlaku dalam ERL.

sekarang aku salah seorang pengguna ERL. apa yang aku perhatikan, bila melangkah masuk dalam ERL, semua berebut nak duduk. peak hours (pergi dan balik kerja) memang sesak. dah dapat tempat duduk, terus amek handphone dan godek-godek handphone. aku pun selalu jugak buat, haha.

bila mata dah tertumpu pada telefon pintar, kita tidak akan perasan ada perempuan mengandung berdiri tak dapat tempat duduk. ada jugak yang tak main handphone tapi buat bodoh je tengok perempuan mengandung tu berdiri.

suatu hari, aku balik kerja macam biasa naik ERL. manusia penuh sesak dan bertuahnya aku dapat duduk sebab aku sampai awal, beratur depan dan dapat masuk dulu dalam train. ada sorang perempuan cina mengandung masuk dan berdiri dekat dengan pintu train. orang yang duduk kat depan buat tak nampak aje, atau dia memang tak perasan sebab sebok tengok telefon. aku lambai-lambai kat perempuan itu suruh dia duduk tempat aku, tapi dia geleng kepala. aku lambai lagi sekali suruh dia duduk. dia akhirnya akur sambil tersenyum.

apa yang aku nak sampaikan ialah bukan nak mengatakan aku ni baik, tidak. ada ramai lagi manusia baik diluar sana. seperti yang aku cakap tadi, ada segelintir manusia yang terlampau kusyuk menatap telefon sampai tak sedar kehadiran wanita-wanita mengandung dalam ERL, maafkan lah mereka.

tapi point penting yang aku nak sampaikan ialah...

teknologi menjadikan manusia leka.

bak kata Albert Einstein, teknologi canggih pada hari ini menjadikan manusia tidak bermasyarakat.

dan pada aku pulak, teknologi menjadikan manusia tidak alert pada orang sekeliling. aku pun kadangkala leka dengan telefon, fb la, ig la, whatapps la...so perkara ini ditujukan untuk diri aku juga.

lagi-lagi kalau kita naik kenderaan awam seperti ERL atau LRT...please alert to the pregnant woman, golongan veteran, orang cacat atau kurang upaya, kanak-kanak dan ibu-ibu yang mendukung anak kecil. mereka  lebih berhak untuk duduk.


Friday, August 15, 2014

fatwa#1



Saya mengaku saya cetek ilmu, banyak lagi yang perlu saya belajar, terutamanya ilmu agama. Baru-baru ini ada sesuatu telah terjadi kepada seseorang yang melibatkan rumahtangganya. Saya terkejut, terdiam, terfikir dan macam-macam perkara bermain di benar hati.

Bagi mereka yang belum berkahwin mungkin akan risau jodoh belum tiba. Saya faham perasaan itu kerana saya telah pun melaluinya. Bila sudah berkahwin, dugaan lagi hebat, biasa lah,.. seorang datang dari planet Marikh, seorang lagi datang dari planet Venus. Proses memahami hati budi dan kehendak antara satu sama lain bukan mudah. Kerana itu kena banyakkan sabar. Saya juga telah melaluinya.

Berbalik pada kes seseorang yang melibatkan rumahtangganya yang dilanda badai, dia berpesan kepada saya dan suami bahawa jangan sesekali bermain-main atau bergurau senda dengan perkataan:

- dah kawen tapi mengaku bujang
- mengaku dah bercerai walau hakikatnya isteri masih ada dirumah
- belum kawen lagi

Kerana dengan bercakap begitu walaupun hanya main-main, talak boleh jatuh.

Saya rujuk fatwa seperti gambar diatas, tidak jatuh talak jika seorang lelaki yang telah berkawen tetapi mengaku bujang, tetapi dia menanggung dosa kerana menipu.

Jangan sesekali bermain-main dengan perkataan cerai walaupun hanya nak bergurau, memang buruk lah padahnya. Hal-hal agama yang berkaitan dengan nikah kawen, cerai dan talak tidak boleh dibuat bahan gurauan, malah sebenarnya perkataan-perkataan itu sangat mengerikan dan boleh meruntuhkan rumahtangga dalam sekelip mata saja.

Kisah dari seseorang itu saya jadikan ikhtibar. Siapa sangka, senyuman yang saya lihat di wajahnya tidak pula saya nampak ada gundah dihatinya. Perkahwinan yang dibina selama 20 tahun berakhir dengan kisah duka. 20 tahun, bukan satu jangka waktu yang sekejap. 20 tahun itu lama. Peristiwa ini benar-benar membuatkan saya berhenti berfikir sejenak bahawa jodoh itu tidak selama-lamanya kekal, tetapi berusaha lah untuk mempertahankannya walau dengan apa cara sekalipun sehingga berakhirnya nafas. Kita berusaha, Allah juga yang menentukan segala-galanya.

Saya doakan dia tabah.


** Tiba-tiba teringat kata-katanya setahun yang lepas, dia pernah berkata begini kepada saya: "kawen ni senang, tapi nak mempertahankannya yang susah, betul kan julie..."

Saya angguk aje, mana lah saya tau masa tu dia sedang gundah.

Pengajaran yang sangat berharga buat saya dan suami.



Thursday, July 17, 2014

kamera di mana-mana

Sekarang bukan saja kena berhati-hati dengan kamera AES, tetapi juga kamera dari telefon pintar. Jaga tingkah laku, kang tak pasal-pasal femes 1 malaya.

Aku cuma nak cakap..

Hormati orang tua, tak kira dia bangsa apa dan agama apa. Suatu hari nanti, kita pun akan jadi tua, apa perasaan kalau orang muda berkasar dengan kita? Kalau kita tak hormatkan orang, macam mana orang nak hormatkan kita.

Banyak pengajaran dari peristiwa itu.

Aku pun bukan jenis penyabar sangat, tapi dari kisah viral yang tengah femes sekarang ni, aku belajar sesuatu.


Tuesday, April 29, 2014

biar gambar berbicara#1


This picture makes me...

sad.

i wanna cry.

cry.

cry.

Aku harap hidup anak dan semua ahli keluarga aku terbela.


Thursday, October 24, 2013

sihat sebelum sakit

Ini bukan pakcik aku, tapi sepupu aku. Aku panggil dia Abg Din. Dia kena Kanser Hati stage 4, thats means last stage for cancer patients.

Raya Haji haritu aku balik kampung, amek kesempatan untuk menziarah dia yang kebetulan ada kat kampung jugak. Sebelum ni dia asik keluar masuk HSA Johor Bahru. Aku takde kesempatan untuk melawat dia di HSA.

Dia kurus, terlalu kurus. Muka dia dah lain. Tapi dia masih boleh bangun duduk. Boleh bercakap dan kenal orang. Cuma dia takde selera makan. 

Aku teringat arwah nenek aku dulu. Keluar masuk hospital sebab kanser jugak. Kanser apa aku lupa, tapi permulaan sakit dia, dia mengalami bengkak di leher. Mula-mula kitaorang ingat arwah nenek kena beguk, tapi rupanya bukan beguk, ianya kanser. Cuma aku tak pasti apa nama kanser tu. Masa masuk hospital tu, nenek dah takde harapan. Doktor pasangkan satu alat macam mesin. Abah aku tanya doktor, mesin tu untuk apa?

Doktor jawab, mesin tu mesin penyambung hayat.

Oh, yeke..



Adik aku ada bercerita, dia ada tengok satu video mat saleh yang sakit kanser. As we known, kanser adalah satu penyakit yang dapat dikesan bila dah stage teruk. Masa awal-awal memang susah nak detect. Mat saleh ni berusaha cara illegal iaitu gunakan Marijuana atau nama lainnya Canabis untuk mengubati penyakit kanser. Marijuana atau canabis itu adalah daun ganja.

Dia amek daun ganja, rebus dan minum airnya. Tapi kena minum sikit-sikit sebab dosnya tinggi. Selang beberapa bulan, dia pegi check doktor dan kanser dia tak takde.

Aku tak pasti betul ke tak, tapi itu lah yang adik aku cerita. Adik aku memang rajin tengok benda-benda macam tu sebab ada kena mengena dengan apa yang dia belajar.

Tapi bila aku pikir balik, tak mustahil cara tu betul cuma salah disisi undang-undang. Entah la, mungkin itu lah kaedah perubatan yang paling semulajadi dan kesannya lebih baik compare dengan amek ubat-ubatan sintetik.

Allah jadikan pokok popi, pokok ganja dan yang sewaktu dengannya tu ada sebab kan?

Allah tak jadikan sesuatu tu sesaja je tanpa sebab.

Bila kaedah perubatan moden dah surrender,sepupu aku tu balik kampung dan cuba kaedah lain pulak. Katanya, dia sekarang tengah makan biji buah aprikot.

Ini biji buah aprikot. Rupa parasnya macam badam, tapi kecik sikit dari badam. Aku selalu tengok benda ni kalau beli kacang campur-campur kat klcc. Biji buah aprikot ni rasa dia pahit sikit tapi khasiatnya tinggi, salah satu kebaikan biji buah aprikot ni ialah ianya mampu membunuh sel-sel kanser, Wallahualam....google la kalau nak tau lebih lanjut.

Usaha lah selagi terdaya. Memang ajal dan maut itu ditangan Allah, tapi Allah dah cakap setiap penyakit ada ubatnya, cuma mungkin kita belum jumpa lagi penawar penyakit itu, tapi teruskan usaha, jangan cepat mengalah. Mak dan abah aku sentiasa bagi semangat pada Abg Din supaya dia tak patah semangat. Aku faham perasaan orang sakit, walaupun luaran dia nampak biasa, tapi dalam hati Allah saja yang tahu betapa dia sedang tabah melawan dugaan yg datang.

Bila tengok keadaan Abg Din, macam tak percaya dia yang dulu sihat walafiat boleh jadi kurus cengkung macam tu. Baru aku tersedar betapa berharganya waktu sihat sebelum sakit.


Baru tadi call mak, dia dalam perjalanan ke HSA, Abg Din masuk hospital semula.

Dia koma.

Doakan untuk dia.


Thank You.








Thursday, September 19, 2013

short message for a friend, you...

Pesan abah aku, mendengar nasihat orang itu perlu dan bagus tapi belum tentu kita boleh ikut. Pilih la nasihat yang berguna, jangan ikut nasihat yang menjahanamkan. Sebab kita kan ada akal, boleh fikir. Jadi matang.

Semalam aku bagi tazkirah kat seorang kawan rapat. You...you know who you are. If you read this, this is for you.

Aku ni bukan pandai sangat nak menasihatkan orang sebab aku pun bukannya baik sangat. Tapi bila ada sesiapa datang especially orang yang rapat dengan aku minta pandangan, aku boleh jadi pendengar setia dan boleh bagi pendapat yang mana termampu. Kadang-kadang aku risau takut tersalah bagi nasihat atau pandangan, sebab tu aku sedaya upaya akan berfikir dulu sebelum menasihatkan orang. Dan aku berharap sangat pandangan dan nasihat yang aku bagi tu berguna untuk dia. Bukan sekadar omongan kosong.

Aku sayang kawan-kawan aku walaupun aku tak pasti diaorang sayang aku ke tak...hihi. As a friend, kalau boleh aku tak nak tengok kawan-kawan aku bermasalah, hanyut dilanda badai...cewah. What are friend for kan? Sebagai mana dulu aku juga pernah dilanda badai, aku faham perasaan itu, cuma aku minta jangan bertindak melulu, jangan buta hati, jangan jadi dungu, jangan jadi lembu kena cucuk hidung. Appreciate lah diri sendiri, penat tau mak kita beranakkan kita, bela cantik-cantik, sekolahkan kita sampai pandai, bagi makan minum, last-last hidup hancur tersasar. Please appreciate yourself and anyone around who loves you sebelum mereka pergi meninggalkan kita terkontang kanting. Bila suatu hari nanti semua orang pergi, baru timbul penyesalan dalam diri, minta diputarkan waktu dengan harapan nak ubah segalanya. You are too late dear.

Sometimes orang lupa, bukan tak tau tapi lupa, bila kita dilanda musibah, we should back to the basic, means back to our Creator. HE always be beside us and always listen to our prayers.

Firman Allah maksudnya: "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah:216)


Benda ni sebagai peringatan untuk diri aku juga. Kita tak tau apa akan berlaku pada masa depan. Kita tak sentiasa berada di atas. Kalau berjalan mendongak langit tu, sesekali tunduk lah sekejap melihat bumi yang kita pijak.



Aku rasa aku nak tulis novel lah...hihi.




Thursday, August 15, 2013

jangan bertanya

source from fb.

Oleh kerana aku pernah mengalami situasi seperti ini, maka seboleh-bolehnya aku tidak akan bertanya walau satu soalan pun yang boleh membuatkan seseorang serba salah nak jawab. Tapi ada setengah orang lupa atau tak terfikir bahawa bertanya soalan yang kita sendiri susah nak jawab sangatlah mengguris hati.

Jodoh, anak, rezeki dan ajal adalah urusan Allah SWT. Kita rancang, bukan kita yang tentukan.

Jadi, faham lah konsep kehidupan tu.


Kita cuma mencari yang terbaik dalam kehidupan. 

Mencari dan terus mencari.







Thursday, May 9, 2013

tentang perkauman

Saya dibesarkan dikelilingi oleh masyarakat cina, dari kecik sehingga sekarang, jiran-jiran saya di kampung rata-rata cina. Mereka (cina) macam melayu juga, ada baik, ada jahat, ada hati wangi, ada hati busuk. 

Saya ada saudara yang berkahwin dengan cina, kahwin dengan india pun ada. Mereka hidup aman sejahtera.

Oleh kerana saya dibesarkan dalam masyarakat yang kebanyakannya cina, saya faham sangat perangai cina. Tapi kalau saya cerita di sini, orang akan kata saya racist pula. 

Cina yang saya jumpa, ada yang pernah memberi provokasi pada saya dengan mengatakan Islam itu babi. Kalau korang dengar dengan telinga korang sendiri seorang cina berdiri dekat dengan korang dan bercakap Islam itu babi, apa perasaan korang?

Ya, saya pernah kena macam tu. Pernah. Tapi saya anggap cina tu biul.

Kalau korang nak memulakan perniagaan tetapi ada cina yang cuba halang dan mengatakan tak payah lah nak berniaga, buat apa you nak beniaga, tak payah la...bagi saja I sewa kedai you...I mahu buka itu bar.

Bar? Owh terima kasih saja lah.

Itu yang berlaku pada mak abah saya.

Kenapa dia tak mahu mak abah saya berniaga? kerana dia tak mahu orang melayu lebih maju dari dia.

Masa saya kecik dulu, ada sorang anak cina sangat anti dengan saya. Kalau terserempak dengan dia, saya senyum, tapi apa yang saya dapat ialah satu jelingan yang amat tajam. Saya tak tahu apa salah saya sampai dia benci dengan saya. Suatu hari, dia main belon. Tiba-tiba belon tu terbang termasuk dalam kawasan rumah saya. Saya berada disitu dan tolong amekkan belon tu, bagi semula pada dia. Dia ucap terima kasih. Sejak dari hari itu baru lah saya nampak dia senyum kat saya.

Saya ada juga jumpa cina yang baik, sangat baik. Mereka kawan saya di company lama. Saya masih ingat nama mereka, Irene, Jane dan Kelly. Irene ni comel dan manja-manja. Sekarang dia keje di Aker, department Instrument. Jane saya rasa dia masih di VME. Kelly, kali terakhir yang saya tahu dia keje di Cameron Malaysia Sdn bhd, kalau tak silap lah. Sekarang saya tak tahu dia dimana. Jane baik, saya panggil dia kakak Jane, dia panggil saya adik Julie. Jane tahu soal halal haram. Kalau nak order makanan untuk makan ramai-ramai, dia akan order di kedai yang halal. Masa lunch, kami selalu juga lunch bersama.

Saya teringat jiran cina saya yang sangat baik, nama dia Ah Gek. Masa kecik dia selalu dukung saya bawak jalan-jalan. Dia ajar saya bahasa Cina. Tiap-tiap petang dia bawak saya ke kedai dia dan ajar saya cakap cina. Tapi sorry la saya dah lupa bahasa cina.

Bila sebut pasal racist semua orang melenting. Saya tahu orang akan marah tapi percaya lah, benda tu memang berlaku. Seperti yang saya katakan tadi, cina sama macam melayu, ada baik ada jahat. Tak semua cina tu jahat dan tak semua melayu tu baik. Tapi saya dah jumpa kedua-duanya.

Saya dah jumpa cina yang baik dan cina yang tak berapa nak baik. Melayu.....tak payah cakap lah. Yang baik ramai, yang suka berdengki pun ramai. Kalau korang involve dalam dunia berniaga, korang akan faham.


Sinis ke cerita saya ni? Saya cerita berdasarkan pengalaman hidup yang saya lalui, apa yang saya nampak dan apa yang saya dah kena. Bukan rekaan atau copy paste cerita.

Saya sayang kawan-kawan saya, tak kira bangsa atau agama.

Kalau rasa tulisan saya ini menyinggung perasaan sesiapa, saya minta maaf.



Note: melayu anti melayu pun ada, cina anti cina pun ada. ini lah rencah dunia.




Thursday, January 31, 2013

layankan saja


Aku suka bermain dengan gambar. Senang cakap, aku suka edit gambar. Aku boleh mengadap pc seharian touch up gambar-gambar yang aku suka. Kadang-kadang aku terfikir yang aku ni sebenarnya tersalah pilih kerjaya.

Aku tak sepatutnya duduk di kerusi dan meja sekarang ni. Aku patut berada di tempat lain.

Tapi tu bukan bermakna aku nak jadi photographer. Hahaha...kamera pun cikai nak jadi photographer apanya. Photographer anak aku boleh la. Nak setting kamera pun terhegeh-hegeh. Orang ajar sekali aku paham, esok aku lupa. Hehehe.

Aku teringat apa yang abah aku pernah cakap, selalu aku fikirkan. Percaya atau tak percaya...90% dari apa yang dia cakap tu betul dan dah terjadi pun. Macam mana dia boleh fikir dan cakap benda yang dulunya aku rasa macam cerita dongeng je. Mungkin dia dah melalui pengalaman hidup yang hebat, dah merantau ke merata tempat, dah berjumpa dengan ramai orang, dan mungkin juga dia tahu aku ni macam mana...ye la kan...dah dia bapak aku, mesti dia kenal siapa aku. Hehe.

Ok, takpe. Aku rasa macam nak layankan aje life yang sekarang ni. Tak boleh tergopoh gapah. Rileks. Jangan tertekan sangat.




Monday, December 31, 2012

berakhirnya 2012

Tahun 2012 bakal melabuhkan tirai (ayat buku). Aku rasa tahun ini lah tahun paling fantastik dalam hidup.

Kenapa?

Kerana tahun 2012 ini aku melahirkan Zhareef, menjadi ibu kepada seorang anak comel. Ini lah yang fantastiknya. Sepanjang 9 bulan mengandungkan Zhareef, aku tidak mengalami sebarang masalah, alhamdulillah. Aku tak muntah, aku sangat berselera makan, lena tidur dan....suka berjalan. Aku boleh berjalan dalam mall tanpa membeli apa-apa dan pergi ke taman-taman sambil memetik kamera.

Di saat hampir tiba aku bersalin pun aku masih sempat ajak family berjalan-jalan ke Cameron Highland, tapi hasrat itu termati di situ sahaja kerana sehari sebelum ke sana, aku dah sakit...sakit nak bersalin.

Pengalaman mengandung memang best. Walaupun tubuh badan ini sangat penat tapi keseronokan itu tidak ada tolok bandingnya. Begitu juga pengalaman ketika sakit di labor room. Sakitnya bersalin tu tak terucap, macam nak putus nyawa, tapi bila tengok muka baby, hilang rasa sakit. Indahnya bersalin! Itu lah nikmat yang Allah bagi kepada setiap wanita bergelar ibu.

Pengalaman menjaga Zhareef sangat mencabar. Aku stress setiap malam kerana Zhareef selalu buat perangai, suka merajuk dan kuat menangis. Sehingga sampai satu tahap aku takut nak menghadapi waktu malam, aku takut nak berdepan dengan Zhareef yang bakal mengaruk tu. Bila ingat balik, aku tersenyum sorang-sorang.

Tapi...

Ada satu perkara yang aku kira paling menyedihkan dalam hidup ini. Aku adalah salah seorang ibu yang gagal memberikan anaknya minum susu ibu secara ekslusif. Aku dah gagal. Aku hanya sempat beri Zhareef minum susu aku semasa dalam pantang, itu pun tak banyak. Aku makan macam-macam kononnya untuk menambah susu, tapi hasilnya sangat mendukacitakan. Dalam diam-diam, aku sangat cemburu melihat ibu-ibu lain yang berjaya menyusukan anaknya tanpa sebarang masalah. Setiap kali aku baca artikel mengenai breast feeding, hati aku menangis.
 
 
Aku melihat Zhareef membesar depan mata, melayan kerenah dia, mandikan dia, tidurkan dia dan memujuk dia semasa dia merajuk. Semua itu rutin harian aku sepanjang tempoh berpantang. Bila tiba waktu aku kena memulakan hari pertama untuk ke ofis, aku menangis. Aku tak sampai hati nak serahkan Zhareef kepada pengasuh. Mungkin Allah makbulkan doa aku. Selepas pengasuh Zhareef tak mahu jaga dia lagi, adik aku sedia membantu. Aku kini lebih tenang meninggalkan Zhareef di bawah jagaan adik aku sendiri.


Dan kini, Zhareef semakin membesar dan semakin aktif. Beratnya sudah 6kg dalam masa 2 bulan. Dia dah pandai isap jari, jilat-jilat tangan dia yang debab tu. Pukul 4 pagi dia rajin kejutkan aku untuk ajak aku bermain dengan dia.

Baru aku tahu betapa seronoknya ada anak!

Ini lah pengalaman paling berharga sepanjang tahun 2012, kenangan yang tetap segar dalam ingatan. Aku berdoa dan berharap, tibanya tahun baru 2013 nanti bakal membawa sinar baru dalam hidup kami sekeluarga.


Selamat Menyambut Tahun Baru 2013.