Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts

Tuesday, August 4, 2015

Sawah padi Kg.Semaloi

Sawah padi di Kg.Semaloi, Endau.

Masa duduk Perlis dulu selalu tengok sawah, tapi sawah di kampung sendiri tak pernah nak ambil tahu. Jadi, dah alang-alang cuti lama, jom lah jalan-jalan tengok sawah, bawak Zhareef berkenalan dengan pokok yang menghasilkan padi ni.

sawah hijau terbentang luas, niat hati nak jalan sampai ke tengah sawah, tapi tak payah lah. Nanti kang Zhareef tak nak balik pulak...hahaa

haa...tu, muka dah start nak excited..
dia panaskan enjin dulu..

pastu bapak dia memperkenalkan dia dengan tali air..
makin panas la enjin turbo tu..

jeng...jeng...jeng...
ok, dia dah masuk dalam tu..
budak ni kalau nampak air memang hidup nyawa...kalau ada ikan lagi bertambah nyawanya

 tengok apa dia buat tu..
mak dia yang risau takut dia jatuh...
dia...selamba jek muka..
 lepak kat tali air..
main baling-baling batu

 melawat ke kampung sebelah...
uihh...ada pokok durian la...
buah durian meluyut-luyut macam memanggil-manggil je..

dia cuba menahan gelora dihati apabila melihat air..

 lepas tu mengeteh sekejap..
dan makan sup ekor sambil mengadap laut

gambar kucing ni Zhareef yang snap..aku dah wariskan kamera Canon G12 tu kat dia


Friday, July 31, 2015

Aidilfitri 2015

 keluarga mertua

 keluarga aku

keluarga kecil kami


Selamat Hari Raya..
tercapai hasrat aku nak pakai warna emerald green bersama tudung warna gold!

hahaha..


Oh ya, raya tahun ini aku tertunggu-tunggu soalan-soalan cepu emas iaitu 'bila nak tambah anak?'

Namun, tak ada seorang pun manusia yang menyuarakan soalan itu kepada aku, hairan juga. Mungkin mereka faham soalan-soalan seperti itu tidak patut ditanya.

Namun, telahan aku silap. Ternyata, soalan-soalan itu ada ditanya, tetapi bukan kepada aku, tetapi kepada husband aku.

Muahahahaaa...

Husband aku kata, kenapa dia yang kena tanya, bukan aku?

Aku pun jawab..

Mungkin mereka tahu soalan sebegitu agak sensitif untuk ditanya, tetapi mereka tetap nak tanya jugak, jadi mereka memilih untuk tanya pada husband aku sebab orang lelaki ni cool sikit nak jawab berbanding perempuan. Sedia maklum lah perempuan ni (perempuan macam aku terutamanya) agak emosi dan tak suka nak jawab soalan-soalan maut macam tu. Kalau ditanya banyak kali, memang darah boleh naik kot. Tapi sebenarnya aku dah prepare awal-awal untuk jaga emosi dan cuba untuk jawab sambil senyum tak ikhlas manis. Tapi memandangkan mereka (saudara-mara) takde bertanya....syukur alhamdulillah.

Ngeh...ngeh...ngeh.

 

Monday, August 18, 2014

gathering

Sesi bertemu kawan-kawan seperjuangan memanjat bukit dan gunung. Saya tak mengkategorikan ini sebagai rumah terbuka kerana konsep rumah terbuka lebih luas, jemputan lebih ramai dan makanan sudah tentu banyak.

Ini hanya konsep makan-makan kecil-kecilan. Ini lah waktu bertemu kawan-kawan yang dah lama tak jumpa dan kawan yang dah lama kenal dalam Instagram dan Blog tetapi hanya kenal nama, tak pernah bersua muka.

Terima kasih kerana sudi datang ke rumah kecil saya.

 Pic from Fad
 GGK (baca: Geng Gunung Ke) group, from left: Yat, Kay, me, Fad, Bai dan Nurul

Hari-hari saya jumpa Fad, tapi sudah 2 tahun saya tak jumpa Kay. Saya jumpa Yat awal tahun ini kerana dia pernah datang rumah beli pampers. Saya juga dah lama tak jumpa Bai, hampir 3 tahun rasanya sejak saya kawen. Saya jumpa Nurul sebelum puasa haritu sebab lunch dengan dia dan Fad makan nasi ayam dan minum abc.

Tak ada dalam gambar ialah Huz, Miza, Athirah dan Intan.

Huz tak dapat datang kerana ada hal, Miza juga begitu, Thirah sakit perut, dan Intan.......sudah lama sepi.


 pic from CikPuanLawa

CikPuanLawa yang tak perlu saya perkenalkan lagi. Sebelah itu Kak Ana yang dah lama kenal dalam wassap tapi tak pernah bersua muka, dan CikGadisBunga yang saya kenal dalam blog, kemudian facebook, kemudian Instagram,kemudian wassap. Pertama kali saya jumpa Kak Ana dan Gb. Ramah tamah belaka mereka ni. Takde dalam gambar ialah Kak Izat aka Doktor Singa.



Zhareef dan Harraz, our GGKjunior. Baru perasan GGKjunior semuanya lelaki termasuk anak Ezza. In sha Allah, anak Huz dijangka perempuan, dapat lah bunga sekuntum untuk menghiasi taman, kekekeke.

Bila diaorang ni dah besar, agak-agak mewarisi kegilaan mak-mak diaorang memanjat tak? Siapa tau, mereka pulak penyambung generasi GGK kan.


 throwback: Mulu, 2011

Sebab Kay dah tunjuk gambar throwback ni, saya tersentuh hati. KLMJ (baca: Kenangan Lalu Mengusik Jiwa) sekejap. Terus lah bukak album lama cari gambar semasa masih aktif memanjat dahulu kala.

Owhh mak aihh, kurusnya saya dulu. Beza sungguh saiz lengan dengan peha dulu dan sekarang. Pipi pun tak gelembung macam laa ni.

 throwback: Mulu, 2011

 throwback: Gunung Nuang
ya, masa ni ada Intan.

 Tak sangka saya ada gambar ni. Intan and Zul before they become husband and wife.

Intan lagi. Apa kabar Intan agaknya. Semoga dia sihat dan bahagia hendaknya.
 
throwback: Gunung Datuk



Lagi 20 tahun kalau saya bukak lagi album nih, confirm lah meleleh air mata.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
 Friends, come and go. No matter where they are, they will always be in my heart. 




Thursday, August 7, 2014

sampul kosong

Memberi duit raya sudah menjadi satu amalan atau tradisi masyarakat Melayu Islam setiap kali tibanya syawal. Perkara ini bukan wajib tetapi tradisi. Kalau tak bagi duit raya tak berdosa, jangan takut, cuma kita akan dipandang sinis dan akan dilabelkan sebagai kedekut.

Oleh kerana tidak mahu dilabelkan sebagai kedekut, maka ada segelintir orang kita yang menghulur sampul kosong di hari raya.

Macam mana saya nak komen ni..

Macam ni lah. Masa hari raya haritu, setiap orang yang bagi duit raya pada Zhareef saya terus simpan dalam beg. Saya bukan jenis nak check berapa si polan ni bagi. Dah balik rumah, saya pun kumpulkan semua duit raya Zhareef untuk dikira. Kira punya kira, check punya check...ada sampul yang kosong, takde duit pun.

Saya senyum aje pandang husband.

Terkena jugak saya kali ni. Hehehe.

Mungkin orang tua macam kita tak kisah sangat pasal duit raya, tapi bagi budak-budak, duit raya adalah sesuatu yang menggembirakan. Dapat banyak ke, dapat sikit ke mereka tetap happy. Walaupun memberi duit raya bukan perkara wajib, tetapi anggap saja umpama kita bersedekah, semakin banyak kita bersedekah, in shaAllah semakin murah rezeki kita.

Tapi ini semua hak individu. Seperti yang saya cakap tadi, mungkin orang yang memberi sampul kosong itu tak cukup bajet, banyak masalah...jadi untuk tidak dipandang sinis dan dilabelkan sebagai kedekut, dia bagi je sampul kosong.

Nasib baik lah saya bukan jenis terus bukak sampul dan tengok berapa orang tu bagi dan Zhareef pun belum pandai nak check duit berapa dia dapat.

Hahaha.

Dan nasib baik juga saya tak ingat siapa yang bagi sampul tu...hehehehe.

Walau apa pun, saya doakan orang yang memberi sampul kosong itu dimurahkan rezeki dihari-hari mendatang. Saya tidak marah atau kecewa kalau Zhareef tak dapat duit raya, sebab kita tak boleh paksa orang bagi duit pada anak kita kan. Mungkin orang tu ada masalah yang kita tak tahu, jadi jangan mengata mereka kedekut (walaupun ada setengahnya memang agak kedekut). 

Diam aje sudah.



Wednesday, August 6, 2014

cerita raya saya

Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Raya tahun ini sempoi aje. 

Tema baju kami ialah warna Belacan atau Dusty Pink kata omputih. Warna belacan ni nak kata pink tak, purple tak, coklat pun tak. Saya beli kain ni 2 tahun lepas, tapi baru tahun ini lah berjaya jadi baju.

Baju kami 3 beranak emak saya yang jahit. Senang kan emak sendiri jadi tailor. Boleh wassap-wassap je dengan mak bertanya....baju kami dah siap jahit ke?

Ngeee.

Upah pun murah, jimat duit.


Sesi bersalam-salaman. Ini di rumah mertua. Budak-kecik-badan-besor dah siap pakai selipar tak sabar punya pasal nak ajak keluar. Sia-sia aje belikan dia kasut, last-last selipar jugak yang dia pakai, selesa pun selesa ye dok.

Turn saya pulak bersalam...banyak dosa nih. Tapi ni lebih kepada berlakon aje...ngeh,ngeh,ngeh.

keluarga mak abah saya
tema baju warna hijau kecuali adik bongsu saya aje pakai pink
dia memang aneh sikit


keluarga mertua saya
tema baju warna warni..hahaha.

keluarga kecil saya


Kembara raya kami tak jauh, cuma melawat saudara mara sekitar Endau dan Mersing pada hari raya pertama. Raya ke-2 dan ke-3 saudara mara pulak datang bertandang. Raya ke-4 kami ke Kota Tinggi dan JB. Tahun ni tak jumpa ramai kawan-kawan, lebih kepada keluarga aje.

Itu aje lah cerita raya saya. Simple aje.



Monday, August 4, 2014

bila nak tambah anak?

Seperti yang telah aku jangkakan...

Ada orang yang akan menyoal.

"Kau bila nak tambah anak nombor 2..?"

Pangggg. Rasa macam kena tampar kat muka. Nak marah tak boleh...

sebab..

yang menyoal tu...mak aku sendiri.

Kehkehkeh.

Alhamdulillah, aku boleh kontrol perasaan waktu itu. Sambil masak-masak kat dapur, aku pun duk sembang macam-macam perkara dengan mak, tak sangka pulak soalan yang paling aku benci tu keluar juga dari mulut mak.

Macam orang bujang tak suka orang asyik tanya bila nak kawen...aku pun tak berapa suka orang duk tanya bila nak tambah anak.

Tapi...sebab mak sendiri yang tanya, aku redhaaaaaa.

Hikhikhikhik.

Aku pun explain la kat mak...cegitu cegini...pang pung pang punggg...

Harap-harap mak faham lah, dan moga-moga dia tak repeat lagi soalan maut tuh.



Tuesday, August 6, 2013

6 ogos

Zhareef dah genap 10 bulan semalam. Aku pula genap ?? tahun hari ni. Hehe. Biar lah tanda soal tu menghantui fikiran bukan penting pun usia tu kan. Sebenarnya penting juga sebab usia lah lambang kematangan seseorang, selain dari apa yang telah kita lalui, lakukan untuk kehidupan, keluarga, diri sendiri dan agama.

Bila dah berada diusia sekarang, aku dah mula rasa risau dan takut. Aku rasa macam aku dah tua...kikiki. Ok la think positive. Kita minum collagen untuk mantapkan kulit yang semakin dimamah usia ni, buat perubahan pada diri sendiri agar kita tidak terus terbelenggu dengan kehidupan yang serupa setiap masa, tengok movie yang kelakar-kelakar agar kita boleh senyum dan ketawa sebab petua nak awet muda ialah kita kena sentiasa ceria dan gembira, perbetulkan dan mantapkan amalan agar hidup diberkati.

Masih bernafas aku hari ni...

06 august, you come again. Dear Allah, give me light and joy for me to live life to the fullest. Thank you mother for giving birth to me. Thank you husband for loving me. Thank you Zhareef for choosing me as your mother. I proud to have you as my son.

Semoga aku ketemu lagi ramadhan dan ogos pada tahun hadapan.

Di kesempatan ini juga, sempena nak raya ni, aku memohon ampun maaf jika ada terkasar bahasa disepanjang aku menulis, kot ada yang terkecik hati, makan hati dan sebagainya. Selamat pulang ke kampung halaman, berhati-hati memandu jangan sampai kena snap gambar oleh AES, hihi. Hari ini last aku kerja sebelum cuti raya, esok akan berdezup ke kampung terchenta.


Selamat Hari Raya untuk semua!



Monday, September 3, 2012

aktiviti cuti 3 hari

Apartment D'Rimba, Seksyen 11, Kota Damansara. Persekitaran bagus, bersih, tak bising, tapi...parking aku rasa agak terhad sebab ramai yang park kereta di luar. Ni mesti kes parking limited edition. Kata orang kat situ, sekarang harga apartment ni lebih kurang rm320k, dulu murah, dalam rm100k++. Aku tinjau-tinjau kat area situ, keluarkan kamera, snap gambar. Aku membayangkan betapa bestnya dapat terjun dalam pool, gedebush...gedebush...berenang.

Aku berangan berdua dengan hubby.

"Jom kita beli rumah kat sini", aku kata.
"Jom." hubby jawab.
"Tapi kat sini jem tahap gaban la...jauh lagipun.."
"Tau takpe. Jadi duduk je la kat Putrajaya tu, aman."

Tu kata-kata orang berangan okey.....diulangi...berangan. Berangan kan seronok.

Malam. Bawa saudara mara belah hubby jalan-jalan sekitar Putrajaya yang datang ke rumah beraya. Aku agak blur tak tahu nak masak apa. Unplanned. Diaorang call belah pagi bagitau nak datang beraya, kitaorang pulak pagi tu nak keluar pergi Kota Damansara tu lah, ada deal dengan orang Mudah. Balik dah petang terus pergi beli barang. Mee goreng je lah untuk diaorang. Nak masak yang remeh-remeh memang takde masa dah, unless kalau diaorang bagitau sehari awal, boleh la aku prepare menu yang komplikated sikit. Dan mee yang aku goreng tu pedas gila....ye, pedas gila. Aku sendiri sakit perut makan mee yang aku masak. Kuikuikui.

Terima kasih lah sudi beraya di rumah, tapi takde menu istimewa lah.

The Palace of Justice@ Istana Kehakiman. Ramai pulak manusia malam tu. Berderet-deret kereta park tepi jalan.

Di atas jambatan menuju ke PICC.



Monday, August 27, 2012

raya 2012 - Endau, Mersing, Pontian

Aku hadapi bulan puasa tahun ni macam biasa, cuma terlebih penat sikit sebab nak kena bawak badan yg berat. Family belah hubby agak ramai, bukan agak ramai....memang ramai pun. Kemeriahan tu terasa sebab rumah mereka dekat-dekat, jalan kaki je. Family aku pulak kebanyakan tinggal di luar Endau, nak tunggu berkumpul ramai tu berjanggut jugak lah.

So ini adalah family my husband.








 Ini pulak family aku di Mersing.





Ni family di Benut, Pontian.
Actually saudara mara di Benut ni aku tak berapa kenal dan rapat sangat, jumpa pun setahun sekali.






 Beraya rumah kawan husband...
yg baju oren tu kawan sekolah dia..

dan ini Kiddy and Aida...
tak sangka diaorang sudi datang ke rumah..
walaupun dah lewat malam...
makan aje apa yang ada....hehehe..


Hari raya yang memenatkan....dan menggemukkan.




Friday, August 24, 2012

1st day raya 2012

 semua orang kata aku tembam....huhu...

Sambutan Aidilfitri 2012 untuk pertama kalinya sebagai isteri, bergambar di pagi raya bersama keluarga mertua. Dengan keluarga sendiri tak ada adegan gambar-gambar sebab mak tak pakai baju raya di pagi raya, alahai...macam mana nak bergambar. Takpe, gambar-gambar di Pontian ada, later-later aku update.

Lepas salam-salam dan membedal ketupat rendang, pergi rumah mak dulu, mak pakai tshirt dengan kain batik je, rimas katanya pakai baju raya. Hahaha. Lepas tu pergi beraya rumah kaum kerabat hubby, jenuh kaki ni berjalan dari rumah ke rumah, perut pun dah tak boleh menerima makanan lagi. Kenyang anak aku dalam perut membedal macam-macam. Hehehe.

Apa-apa pun, raya tahun ni ada kelainan sebab dah ada keluarga lain. Dulu dengan keluarga sendiri je. Walaupun penat tapi seronok. Badan dah melekit bagai tetap jugak nak beraya. Jangan tak percaya, dah tua-tua bangka macam aku ni pun still dapat DUIT RAYA okeyyyyy.....i like....





Thursday, August 16, 2012

aku pun nak ucap selamat hari raya juga

Semua orang dah sibuk-sibuk ucap selamat hari raya, bermaaf-maafan. Lepas raya buat dosa balik...kihkihkih. Kidding.

Raya tahun ini aku agak pening kerana memikirkan untuk 3 rumah. Dah tentu, belanja pun lebih. Apa boleh buat, dah lumrah alam. But I'm glad I can make my own kuih raya, and cook for berbuka at home. Ia tidak semudah yang disangka. Dalam keadaan yang macam ini, sudah masuk 30 minggu membawa anak dalam perut, aku rasakan yang aku adalah 'superwoman'.

Cuma sesekali aku beli je kat luar untuk berbuka. Tapi bazar ramadhan sekarang sudah tidak ada jiwa. Yang mana sedap tu sedap lah, yang mana tak sedap tu redha aje lah. Cuma aku pernah terbeli kuih yang berharga 60 sen seketul. Mahal kan? Tak sedap pulak tu. Kadang-kadang aku rasa penjual kat bazar ni macam kejam. Tapi tak semua. Ada yang ok. Ada jugak yang kerek, yang kedekut berkira pun ada. Alah...lumrah alam kan.

Jadi di sini aku pun nak mengucapkan Selamat Hari Raya untuk semua. Maaf untuk segala keterlanjuran kata. Moga kita semua dapat menyambut raya dengan gembira bersama keluarga tercinta. 

Memandu dengan berhati-hati. Jangan memandu laju-laju, rumah kita tu tak lari kemananya...jadi tak perlu terkejar-kejar. Ingat orang-orang tersayang yang menanti kepulangan kita.







Monday, August 13, 2012

biskut makmur

Aku ni old fashion. Aku suka kuih raya jenis lama-lama, contohnya kuih makmur, baulu, biskut suji dan semperit. Kuih yang canggih-canggih sekarang ni suka juga, tapi bukan kategori feveret. So dengan tabah hatinya aku sedaya upaya buat kuih makmur. Actually kuih ni bukan setakat kesukaan aku, tapi adik aku juga. Tiap-tiap tahun dia akan request aku buat kuih ni. Sama macam cornflakes madu tu.

Aku ikut resepi google, tapi biasalah, aku tak akan ikut 100%. Aku suka nak godak-godak resepi tu ikut tekak aku. Jadi ini adalah resepi aku yang telah di godak.

Biskut Makmur.

Bahan-bahan: (Untuk 50-60 biji)

Untuk inti:
200gm kacang tanah
4-5 sb gula halus
sedikit minyak

Untuk bahan doh:
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan susu tepung
minyak sapi (tak ada sukatan, ikut banyak mana boleh kepal)
gula halus untuk salut kuih

Cara-cara:


 goreng kacang tanah tanpa minyak..
kemudian, buang kulit, kalau tak nak buang kulit pun takpe.
blendkan halus, then campur dengan gula halus..
ikut suka la kalau nak manis lagi boleh lebihkan gula..
lepas tu tuang minyak sikit supaya kacang tu boleh melekat, nanti senang nak masukkan inti ni dalam doh..

 Untuk doh pula, aku guna sukatan cawan ini...
satukan tepung gandum dan susu tepung dalam mangkuk, gaul-gaulkan sebati,
kemudian gaulkan pula dengan minyak sapi,
gaul sampai agak-agak boleh kepal, jangan keras sangat, jangan lembik sangat.

 ini doh yang dah siap sebati..
banyak ni boleh dapat 50-60 biji..

 bulatkan doh kecik-kecik,
leperkan, masukkan inti kacang tanah tadi,
kemudian bulatkan semula, kalau nak bentuk lonjong macam yg aku buat ni pun boleh..
debab-debab kan kuih makmur aku...hahaha
kemudian, bakar dalam oven pada suku 160 degree C selama 15 minit.

bila dah masak, keluarkan dan sejukkan dulu,
dah sejuk, gaulkan dalam gula halus...
dah boleh makannnnn....


senang je kan...
 tapi aku buat 60+ biji ni pun dah semput cik non...